Thursday 13 December 2012

HOT: BERJAYA KE AIM19?



Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyifatkan Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 yang berlangsung pada 17 November lalu sebagai lebih baik dan telus berbanding penganjuran sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM19, Rosmin Hashim berkata, kesimpulan itu diambil berdasarkan respons positif para penggiat muzik dan khalayak yang berpuas hati dengan keputusan dan perjalanan anugerah tersebut.

Rosmin berkata, selaku penganjur mereka tidak menerima rungutan atau kritikan yang besar selepas anugerah itu berbanding tahun-tahun lepas.

"Secara keseluruhan, AIM19 berlangsung dengan baik berbanding penganjuran yang lepas. Tiada rungutan atau pertikaian yang besar timbul kerana rata-rata semua pihak berpuas hati.

"Rungutan yang timbul pun hanya pada aspek kecil dan tiada pertikaian mengenai keputusan pada malam itu," katanya ketika ditemui pada Forum AIM di Hotel InterContinental di sini, petang Rabu.

Forum tersebut bertujuan membincangkan kelebihan dan kekurangan AIM19 untuk menambah baik taraf penganjuran akan datang.

Ia turut disertai Ketua Juri AIM19 iaitu komposer Adnan Abu Hassan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif RIM, Ramani Ramalingam selaku moderator.

Acara selama hampir dua jam itu menghimpunkan komposer-komposer antaranya Johan Nawawi dan Julfekar, wakil-wakil syarikat rakaman dan pihak media.

Rosmin berkata, kontroversi AIM18 pada tahun lalu mengajar mereka untuk menitikberatkan aspek penghakiman dan ketelusan dalam menilai setiap pencalonan pada kali ini.

"Kalau sebelum ini orang tidak tahu siapa juri yang menilai kerana kita tidak dedahkan tetapi atas dasar ketelusan kami tekankan aspek itu pada AIM19.

"Semua juri yang dipilih benar-benar arif dan mempunyai kredibiliti yang diakui industri. Kita akan teruskan formula ini untuk penganjuran akan datang," jelasnya.

Mengenai pengisian dan persembahan artis yang kurang baik berbanding AIM18, Rosmin berkata, mereka memberikan peluang sama rata kepada semua penyanyi terlibat sama ada yang lama atau baru.

"Memandangkan timbul pertikaian, mungkin pada AIM selepas ini kita perlu lebih teliti dalam menentukan artis yang bakal membuat persembahan."Bagaimanapun, ia adalah risiko yang perlu kami ambil kerana artis baru juga wajar diberikan peluang beraksi di pentas AIM," kongsinya.


Tambah Rosmin, RIM juga bakal memperkenalkan satu kategori baru iaitu Kolaborasi Vokal Terbaik Di Dalam Lagu bermula AIM20 berdasarkan perkembangan lagu duet dan penampilan khas yang rancak dihasilkan kebelakangan ini.

Selain itu, semua kategori bahasa Inggeris yang sedia ada akan disatukan sebagai Lagu Inggeris Terbaik bermula penganjuran akan datang.

Pelaksanaan 6 Inisiatif 2013

Dalam pada itu, Rosmin berkata, RIM akan melaksanakan enam inisiatif baru yang diperkenalkan di bawah polisi Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) bermula 2013.

Katanya, inisiatif yang dirasmikan pada Oktober lalu itu bakal menawarkan geran berjumlah RM6.5 juta di bawah kendalian Bahagian Muzik, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Rosmin berkata, geran itu akan diagihkan pada enam program iaitu:

1) Geran Muzik Video - penghasilan klip video artis tempatan sehingga mencecah RM30,000 untuk sebuah video

2) Geran Pembiayaan Jelajah Luar Negara - mempromosi penyanyi tempatan ke pasaran luar.

3) Penganjuran AIM Cina 2013 dan AIM India 2013 - Memartabatkan pengkarya muzik dalam bahasa Mandarin atau Tamil tempatan.

4) Penyertaan dalam ekspo perniagaan muzik MIDEM 2013 di Cannes, Perancis pada 26 hingga 29 Januari 2013.

5) Forum Muzik - penganjuran bengkel bersama penggiat untuk mengembangkan industri muzik.

6) Program Akreditasi - penyediaan latihan bagi menaik taraf status penyanyi bebas atau baru kepada profesional untuk dipasarkan ke luar.

AIM19 mencatat kadar tontonan sebanyak 900,000 penonton menerusi dua saluran iaitu Astro Ria (104) dan Astro Mustika HD (134).

Sumber


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...