Monday 10 December 2012

PANAS: UMMI NAZEERA NAK KAHWIN?



Pelakon Ummi Nazeera mengakui dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat biarpun timbul desas-desus kononnya dia bakal berkahwin pada 2013.

Ummi, 22, berkata, faktor usia yang masih muda dan statusnya yang masih menuntut dalam jurusan perniagaan di Royal Melbourne Institue of Technology (RMIT), Australia membuatkan dia belum terfikir untuk berkahwin pada waktu ini.

"Keutamaan sekarang adalah untuk menghabiskan pengajian saya terlebih dahulu. Secara jujurnya, saya belum bersedia untuk berkahwin pada usia muda.

"Saya baru berusia 22 tahun. Perkahwinan bukan benda kecil yang boleh dibuat main-main," kata bekas kekasih kepada aktor Remy Ishak ini.

Ditanya mengenai desas-desus perancangan perkahwinan dengan teman lelaki yang dikenali ketika menuntut di universiti tersebut, Ummi berkata, segala spekulasi mengenai perkara itu adalah tidak benar kerana dia mahu menghabiskan pengajian terlebih dahulu.

"Saya tidak pernah komen apa-apa mengenai hal ini (berkahwin). Entah bagaimana, cerita ini boleh timbul malah ia diperkatakan sejak tahun lalu.

"Saya sudah jelaskan kepada teman lelaki dan dia memahami. Kalau boleh, selepas pengajian tamat tahun depan, saya mahu fokus kepada perniagaan milik keluarga agar dapat mempraktikkan apa yang dipelajari," katanya.

Mengenai kerjaya seni, pelakon yang sedang bercuti selama tiga bulan sejak November lepas berkata, dia masih belum membuat keputusan untuk berlakon dalam mana-mana produksi.

"Saya bukanlah mahu bersikap selektif, kalau boleh saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza. Saya tak mahu jika dua filem seram lakonan saya keluar pawagam serentak tahun depan.

"Sebaliknya, saya teringin berlakon dalam filem romantik atau kisah cinta tragik," katanya yang bakal muncul dengan filem Penanggal pada 2013.

Terbaru, Ummi akan mewakili negara menerusi filem Hikayat Merong Mahawangsa ke Festival Filem Asia Pasifik (APFF) ke-55 di Macau, China pada 13 hingga 16 Disember ini.

Selain filem terbitan KRU Studios itu, empat lagi karya terpilih adalah Bunohan, Nur Kasih The Movie, Ombak Rindu dan Songlap.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...