Saturday 29 December 2012

JOM BANTU: Sukarelawan Belia 1M4U KBS digerakkan



KEMAMAN - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengajak golongan belia di seluruh negara menyertai Sukarelawan Belia 1M4U KBS untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, KBS akan mengumumkan beberapa platform untuk dihubungi belia yang berminat menyertai sukarelawan tersebut.

"Kita akan membuat koordinasi dengan pemimpin-pemimpin setempat dalam membuat penilaian mengenai berapa rumah yang memerlukan bantuan.

"Selain daripada itu, pihak KBS juga akan mengenal pasti jumlah tenaga sukarelawan yang diperlukan untuk satu rumah dalam memudahkan pengagihan golongan sukarelawan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program sumbangan air bersih bersama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Rozali Ismail di Pusat Pemindahan Banjir Felda Seberang Tayor di sini semalam.


Dalam program berkenaan, seramai 30 Askar Wataniah 60 Rejimen Pakar Pengendalian Air mengagihkan air bersih, pakaian dan makanan kepada mangsa-mangsa banjir.

Turut serta membantu mangsa banjir di Kemaman ialah seramai 1,000 Sukarelawan Belia IM4U KBS.

Ahmad Shabery memberitahu, para belia terlibat boleh menyumbangkan tenaga mengikut kemampuan mereka dalam memberi sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.

"Bagi mereka yang ingin menyumbang tenaga lebih daripada satu hari, kita akan menyediakan tempat penginapan dan logistik bagi memudahkan pergerakan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery yang merupakan Ahli Parlimen Kemaman memberitahu, KBS membuka pendaftaran Sukarelawan Belia 1M4U KBS untuk menjalankan kerja-kerja sukarelawan membantu mangsa banjir di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...