Monday 28 January 2013

Skim Pembiayaan Mikro Untuk Penjaja Kini Dibuka



Kira-kira 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara kini boleh memohon Skim Pembiayaan Mikro Untuk Penjaja dan Peniaga Kecil yang disalur melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skim itu yang dikendalikan Bank Rakyat, menyediakan pembiayaan dari RM1,000 hingga RM50,000 bagi tujuan modal kerja atau modal pusingan serta pembelian peralatan.

"Skim ini memberi keutamaan kepada peserta yang menjalankan perniagaan Menu Rakyat 1Malaysia di mana permohonan mereka akan didahului berbanding mereka yang menjalankan perniagaan lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penjaja 1Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, bagi yang berminat, mereka boleh mengisi borang yang disediakan di semua cawangan Bank Rakyat dan dilampir salinan kad pengenalan serta salinan pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Bagi permohonan yang lengkap, proses kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga 10 hari sahaja," katanya menambah kerajaan memperuntukkan RM50 juta menerusi skim itu.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...