Wednesday 19 December 2012

PANAS : Zed Zaidi Main Tepuk Amai-Amai



Malaysia dan Indonesia, dua negara berjiran yang mempunyai sangat banyak persamaan namun tak asing dengan pertelingkahan. Dari isu sempadan sampai lah ke isu pembantu rumah, dan juga isu dunia hiburan, dari dulu lagi, dua negara bersaudara ini amat sukar mencari titik persetujuan.

Maka sebaik-baiknya, kita juga jangan terlalu mudah mencari masalah jika masalah boleh dielakkan. Begitulah dengan isu pertelingkahan terbaru Malaysia-Indonesia ini. Isu yang boleh dielakkan tidak patut diperbesarkan.

Terbaru, dunia hiburan tanahair 'panas' dengan kenyataan yang dibuat penyanyi dan pelakon Indonesia, Julia Perez, atau lebih dikenali dengan nama samaran Jupe di laman Twitter miliknya.

Jupe lantang bersuara mengkritik drama Malaysia jauh beza dengan kemajuan pembikinan drama dan filem di Indonesia. Jupe juga mengatakan beliau berbangga menjadi rakyat Indonesia.

Nampak biasa, bukan? Hanya secara kebetulan Jupe mungkin menonton TV kita dan secara jujur membezakan kualiti drama dua buah negara ini. Sepatutnya, sebagai rakyat Malaysia kita ambil iktibar dari kritikan sebegini, dan bukannya menghentam pengkritiknya pula.

Tetapi, Presiden Seniman, Zed Zaidi yang melihat tweet Jupe itu kemudiannya melenting dan terus menghantar tweet kepada Jupe memanggilnya 'biadab' dan 'gampang'. Zed juga mempersoalkan nama samaran Jupe dengan bertanya 'nama manusia kah itu?'

Tweet Jupe pada asalnya bersifat umum kerana tidak ditujukan pada sesiapa secara spesifik, tetapi Zed secara terbuka telah menghantar tweet terus kepada Jupe memarahi artis Indonesia itu kerana berani mengkritik industri hiburan tanahair.

Jupe kemudiannya membalas tweet Zed dan mengingatkan Presiden Seniman itu bahawa ramai artis Malaysia mencari makan di Indonesia dan Zed tidak harus bersikap sebegitu angkuh. Jupe turut mengkaitkan isu politik di mana bekas Menteri Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Zainuddin Maidin baru-baru ini menghentam bekas Presiden Indonesia, BJ Habibie.

Kita pendekkan cerita panjang yang mengarut, maka berlakulah perang di antara Zed dan Jupe.

Zed yang kemudiannya mendapat tahu Jupe berada di Malaysia untuk penggambaran filem, terus tekad mahu menyiasat samada Jupe berada di sini secara sah atau tidak.

Presiden Seniman itu mengumumkan di akaun Twitternya bahawa setelah diselidik, tiada permit yang dipohon untuk nama Julia Perez berlakon di Malaysia di bawah akta Finas, Padu Citra.

Zed juga berkata pihak Finas akan menyerbu lokasi penggambaran filem dibawah arahan Murali Abdullah itu.

Apa yang menghairankan di sini, isu permit kerja bukan urusan Julia Perez. Jelas di sini, penyanyi itu ditawarkan untuk berlakon dan beliau sekadar menerima tawaran (lebih-lebih lagi kalau tawarannya lumayan, siapa tahu kan) itu lalu datang ke Malaysia untuk menjalankan sesi penggambaran. Berkenaan isu permit kerja adalah tanggungjawab sutradara pengarah, Murali Abdullah dan produser filem 'Sentuhan Malam Pertama' itu.

Tetapi Zed yang sudah tidak berpuas hati dengan kenyataan awal Jupe menjadikan perkara ini seperti perang antara industri hiburan tanahair dan Jupe sendiri.

Cara Zed Zaidi menghentam Jupe di Twitter tidak ubah seperti Jupe seorang penjenayah dikehendaki FBI.

Zed juga mendapat banyak sokongan dari pengikutnya di Twitter, tak kurang dari mereka yang di dalam industri hiburan juga. Rata-rata ramai menyokong tindakan Zed menghentam Jupe. 

Cuba fikir, kalau lah Jupe tidak mengkritik drama Melayu di Twitter, kemungkinan besar Zed tidak tahu langsung yang Jupe berada di tanahair untuk menjalankan penggambaran filem. Isu permit kerja juga tidak akan timbul. 

Ini tidak, Zed 'semakin meroyan' di saat Jupe dah pun berada dalam perut kapal Garuda dan nak berangkat pulang ke negaranya. Kalau Zed benar-benar peka, kenapa tidak dipersoalkan tentang permit Jupe sejak hari pertama atau mungkin 1 jam yang pertama Jupe jejakkan kaki di sini. Heh.

Inikah ciri-ciri seorang Presiden persatuan Seniman, yang kononnya ingin berjuang untuk artis Malaysia? Di mana Zed ketika Murali mula memanggil Jupe untuk berlakon? Sebagai Presiden, tidakkah dia sepatutnya tahu dari awal jika ada produksi tempatan ingin memanggil artis luar berlakon di sini?

Tindakan Zed kini boleh dijangka, bak kata orang putih, 'predictable'. Dulu, Zed mengamuk apabila Aaron Aziz dinobatkan anugerah Pelakon Paling Popular. Kata Zed, Aaron orang Singapura dan tidak sepatutnya dibesar-besarkan di sini, tambahan pula bekerja tanpa permit di Malaysia. Zed malu sendiri selepas itu kerana permohonan Aaron untuk status Pemastautin Tetap di Malaysia diluluskan, jadi tidak timbul lagi Aaron tiada permit kerja.

Kalau diteliti 'perjuangan' Zed, dirinya berjuang untuk kebajikan artis Malaysia. Tetapi malangnya pemahaman Zed cetek. Zed menyamakan kebajikan artis Malaysia dengan menyekat kemasukan artis luar. Bak kata Jupe, ramai juga artis Malaysia mencari makan di luar, kenapa dengan mudah Zed melupakan hal itu?

Yang lebih memalukan ialah Zed, selaku Presiden persatuan Seniman jelas kelihatan tidak boleh menerima kritikan dengan baik. Sekiranya orang mengkritik industri kita, ambil iktibar dan cari di mana silapnya drama dan filem kita kini. Be the bigger person, Zed. Ucap terima kasih kepada pengkritik dan cari ruang untuk menaikkan kualiti drama dan filem kita. Ini tidak. Zed terus mengambil jalan mudah, kononnya sentap dengan kritikan dan kemudian mengkritik semula orang yang mengkritik. Malangnya Zed tiada kebijaksanaan untuk mengkritik secara berhemah. Zed terpaksa menggunakan perkataan murahan seperti "biadab" dan "gampang". 

Selaku wakil industri hiburan Malaysia, Zed tidak bijak mengendalikan situasi ini. Jupe tidak mengkritik Zed secara langsung. Jupe hanya menyuarakan pendapatnya, dan dia juga tidak menggunakan perkataan yang tidak baik. Jadi mengapa Zed harus bersifat kebudak-budakkan?

Susulan pertelingkahan itu, isu permit Jupe kini kencang diperkatakan dan dengan mudahnya Zed Zaidi dan penyokong-penyokongnya lupa isu asal. Isu kualiti drama dan filem kita yang memang sudah semakin tenat.

Zed lupa akan sensitifnya hubungan Malaysia dan Indonesia. Apa yang dilakukannya kini membuka ruang untuk pengikut tegarnya menghentam Indonesia membabi buta. Rata-rata mereka yang menyokong Zed tidak nampak isu sebenar. Ada yang menghantar tweet berikut kepada Zed Zaidi:

"sy mohon smua stesen tv kat M'Sia stop cite indon n reject smua lgu indon.Saluran bintang pon stop" (@PegiLantakLa)

Adakah ini tugas Presiden Seniman? Inciting hatred? 

Amat sedih jika anda membaca tweet sokongan yang diterima Zed Zaidi di Twitter. Jelas ramai tidak mahu menerima hakikat drama dan filem kita masih punya banyak ruang untuk berubah. Kualiti drama dan filem kita sangat jauh menurun berbanding filem-filem Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee. 

Sekiranya disekat langsung kemasukan artis luar tak kisahlah apapun, K-Pop ker, J-Pop ker, Bollywood ker, Hollywood sekalipun, kualiti drama/filem dan bakat pelakon dan penyanyi sedia ada tidak akan menjadi hebat secara magik.

Ramai juga yang berpendapat artis Malaysia sukar untuk menembus pasaran Indonesia atau negara lain, jadi pada mereka, tindakan susulan ialah menyekat kemasukan artis Indonesia ke sini. Mereka tidak sedar, artis kita sukar menembus pasaran sana kerana artis mereka kebanyakannya hebat-hebat belaka, jadi mengapa perlu mereka terima artis kita melainkan artis yang betul-betul hebat seperti Allahyarham P. Ramlee dan Siti Nurhaliza?

Mentaliti dan kaedah Zed sangat kebudak-budakkan dan hanya akan menjatuhkan industri hiburan negara yang sudah sedia sakit.

Apa yang kita perlu ialah berhenti hidup di dalam penafian, macam orang putih cakap, stop living in denial. Terimalah hakikat dan berubahlah ke arah kebaikan.

Sampai bila kita nak hidup berlandaskan prinsip polisi bumiputera? Sampai bila kita nak menidakkan persaingan semata-mata untuk menaikkan barangan kita? Industri hiburan harus bersaing secara sihat. Jika dilihat orang kita suka dengar lagu Indonesia berbanding lagu Malaysia sekarang, cari punca masalahnya. Lagu kita tak sedap, takkan nak paksa juga orang dengar? 

Kata kuncinya di sini ialah 'improve'. 

Dan juga, diharapkan Zed akan berubah dan menjadi lebih bijak selepas ini. Janganlah asyik 'tepuk angin' (umpama buat sesuatu yang sia-sia) kerana ramai yang bertepuk tangan melihat gelagat anda.

Sekiranya Zed masih dengan sikapnya ini, diharapkan para artis negara dapat mengundi presiden lain untuk pemilihan akan datang. Industri hiburan dah cukup tenat, kita tak memerlukan Zed Zaidi untuk menyakitkan industri kita lagi.

Sumber

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...