Wednesday, 20 February 2013

Skim Lebih Baik Bagi Penjawat Awam Sebelum Pencen


Kerajaan bercadang menetapkan had persaraan minimum pada Gred 54 untuk pegawai perkhidmatan awam berprestasi tinggi bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.   


Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, cadangan tersebut masih diperingkat kajian dan beberapa perkara seperti implikasi kewangan, tahap kecemerlangan pegawai terlibat dan skim gaji perlu diteliti terlebih dahulu.

"Kita sedang melihat cadangan ini yang mana ia membabitkan implikasi kewangan besar. Tujuannya ialah supaya penjawat awam akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada negara.

"Kecemerlangan pegawai terbabit mesti menepati piawaian dan berkemungkinan persaraan sebegini akan dilaksanakan mengikut skim demi skim. Kita sasarkan cadangan ini dapat dilaksanakan pada akhir tahun ini selepas kajian mengenainya selesai," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penjawat awam negeri Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ali menggesa pembangkang supaya membuat penilaian secara adil terhadap profesionalisme penjawat awam selaku pelaksana dasar kerajaan.

Beliau berkata, tindakan pembangkang yang sering menghentam penjawat awam setiap kali wujudnya salah laku membabitkan kerajaan adalah tidak wajar.

"Kita tidak boleh terus pergi kepada kesimpulan mudah dan terus membuat kenyataan umum yang mana membabitkan semua penjawat awam. Ini adalah tidak wajar dan saya fikir ia tidak perlu.

"Membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara adalah kerja mudah. Kita perlukan bukti jika ada dakwaan salah laku seperti rasuah dan sebagainya...sebab itu kita ada badan seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ali menasihati penjawat awam supaya lebih sensitif kepada persekitaran dan cabaran baharu terutama melibatkan pelanggan yang mementingkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan diberikan.

Beliau berkata, penjawat awam kini tidak boleh mengekalkan corak pengurusan kerja dan perkhidmatan yang diamalkan sejak sekian lama kerana rakyat sudah bijak untuk menilai perkhidmatan yang diberikan.

"Rakyat kini sedar akan hak mereka untuk mendapat layanan yang lebih adil dan munasabah daripada agensi-agensi kerajaan. Oleh itu, adalah penting setiap janji yang ditetapkan oleh agensi dan jabatan ditunaikan untuk memberikan keyakinan kepada orang ramai," katanya.

Ali turut memuji sesetengah agensi kerajaan yang telah mula mengorak langkah melakukan penambahbaikan dan merekayasa dalam perkhidmatan masing-masing yang dilihat membantu dalam meningkatkan kedudukan daya saing negara di mata dunia. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...