Tuesday 19 February 2013

Pemeriksaan Kesihatan Wajar Diberi Perhatian Oleh Majikan, Pekerja



Majikan dan pekerja di negara ini perlu memberi perhatian khusus kepada kepentingan pemeriksaan kesihatan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan amat memandang serius perkara itu kerana lonjakan pembangunan sosioekonomi keluarga dan negara bergantung pada rakyat yang sihat dan produktif.

"Ramai dalam kalangan rakyat hari ini masih tidak menitikberatkan aspek pemeriksaan kesihatan dan menganggap mereka tidak mempunyai penyakit sehinggalah penyakit itu menjadi kronik," katanya pada pelancaran program Saringan Kesihatan Perkeso peringkat kebangsaan di sini Isnin.

Muhyiddin berkata pelaksanaan program saringan kesihatan itu juga selari dengan kenaikan umur minimum persaraan kepada 60 tahun bagi pekerja swasta yang akan bermula pada 1 Julai 2013.

"Melalui Program Saringan Kesihatan percuma ini, kerajaan memberi peluang dan ruang kepada pekerja-pekerja yang layak untuk mendapatkan diagnosis sesuatu penyakit menerusi langkah pencegahan dan rawatan awal.

"Ini bagi mempertingkat peluang seseorang itu untuk menikmati hidup berkualiti yang lebih lama dan produktif, terutama dalam menjalani aktiviti kehidupan serta tugasan harian mereka," katanya.

Program Saringan Kesihatan Perkeso ialah pemeriksaan kesihatan percuma yang diberi kepada pencarum Perkeso berumur 40 tahun ke atas bagi mengenal pasti kumpulan yang berisiko penyakit tidak berjangkit termasuk sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan kanser.

Sebanyak RM200 juta diperuntuk bagi pelaksanaan program itu menerusi Belanjawan 2013 yang memberi manfaat kepada seramai 1.9 juta pekerja di negara ini.

Faktor utama program itu diperkenalkan disebabkan peningkatan bilangan pekerja yang disahkan menghidap keilatan akibat penyakit tidak berjangkit.

Muhyiddin berkata kerajaan juga berharap para majikan terus komited dan dapat memainkan peranan aktif serta memberi sokongan kepada pekerja menerusi pelaksanaan program itu yang menjurus kepada budaya hidup sihat, menyediakan kemudahan rekreasi dan inisiatif menggalakkan pemeriksaan kesihatan.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, syarikat syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dan NGO dapat memainkan peranan dan bekerjasama dengan Perkeso bagi menjayakan program itu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata bayaran yang dikeluarkan Perkeso bagi membiayai Faedah Pencen Ilat dan Faedah Pencen Penakat menunjukkan peningkatan ketara berbanding lima tahun lepas.

Katanya tahun lepas, sebanyak RM413.4 juta telah diperuntuk untuk pembiayaan pencen Ilat dan RM704.3 juta bagi pencen Penakat, masing masing meningkat 70 dan 77 peratus berbanding pada 2008.

"Statistik Perkeso menunjukkan 40 peratus daripada permohonan pencel Ilat dan 51 peratus daripada permohonan pencen Penakat, berkait dengan penyakit tidak berjangkit ini. Tuntutan pula bermula pada awal usia pekerja 40 tahun, " katanya.

Katanya Perkeso mengedarkan baucar saringan itu melalui majikan kepada semua pekerja yang layak, untuk dikemukakan ke klinik panel yang telah mendaftar untuk program berkenaan.

Katanya setakat ini kira-kira 8,079 pekerja melakukan pemeriksaan kesihatan itu di 2,447 buah klinik berdaftar di seluruh negara.

Katanya secara purata setiap tahun seramai 150 ribu pekerja akan mencapai umur 40 tahun dan layak menjalani saringan kesihatan.

Saringan kesihatan yang dilaksanakan di bawah Program Saringan Kesihatan Perkeso, merangkumi pemeriksaan fizikal, ujian makmal untuk darah dan urin, pemeriksaan pap smear dan mamogram untuk pencarum wanita serta konsultasi dan khidmat nasihat kepada pencarum Perkeso, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...