Thursday 6 December 2012

LAWATAN RASMI PM KE PULAU PINANG SEBAGAI SATU KUNJUNGAN ISTIMEWA



Pendaftaran dalam talian untuk 80,000 rumah mampu milik yang akan dibina di 50 bandar dan pekan di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang pada Sabtu.

Pemohon yang layak akan dapat mengambil bahagian dalam pengundian rumah berkenaan yang akan dibina pada kos kira-kira RM10 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Rakyat di Pulau Pinang akan menjadi yang pertama untuk mendaftar dan mendapat manfaat daripada program perumahan mampu milik bandar oelh Kerajaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Berhad Datuk Mutalib Alias ​​pada satu taklimat media, Rabu.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan projek PR1MA Seremban dijangka bermula awal tahun depan manakala bidang tanah di kawasan bandar di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak telah dikenal pasti untuk projek itu.

"PR1MA akan membangunkan 50,000 buah rumah manakala tambahan 30,000 unit rumah akan dibina melalui kerjasama dengan pemaju swasta.

"Kami akan menyediakan unit yang berpatutan untuk memenuhi keperluan penduduk bandar," katanya.

Mutalib berkata individu dan pasangan suami isteri dengan pendapatan isi rumah bulanan kolektif antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan layak untuk mendaftar untuk rumah PR1MA.

Hartanah bertingkat dan di atas tanah berharga antara RM100,000 dan RM400,000.

Katanya PR1MA menggunakan definisi fleksibel untuk pendapatan isi rumah yang layak bagi membolehkan ahli keluarga yang layak juga boleh mendaftar secara individu.

Pemohon mestilah rakyat Malaysia yang berumur 21 ke atas dan yang tidak memiliki lebih daripada satu rumah dan bekerja atau tinggal di kawasan di mana projek itu sedang dibangunkan.

Mutalib berkata pemohon boleh menyenaraikan lima lokasi pilihan, sambil menambah mereka akan dimaklumkan tentang pengundian projek PR1MA akan datang melalui e-mel atau SMS.

"Satu sistem pendaftaran terbuka akan digunakan PR1MA di mana sesiapa yang layak boleh memohon. Pengundian akan diaudit secara bebas dan dilakukan secara telus.

Beliau berkata Akta PR1MA 2012 mula berkuat kuasa pada 1 Januari yang akan memastikan pelaksanaan projek perumahan PR1MA berada pada landasan sepatutnya.

Akta ini akan membuka jalan terhadap penubuhan Majlis Penasihat PR1MA yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri manakala Jawatankuasa Kelulusan dan Pelaksanaan akan mengurangkan kerenah birokrasi.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pada tahun 2009, lebih daripada 850,000 orang dengan pendapatan antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan tidak membeli rumah sendiri.

Kira-kira 60 peratus daripada permintaan untuk rumah mampu milik adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Sarawak. (mStar Online)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...