Monday, 11 March 2013

Terowong Dasar Laut : Kerajaan DAP Pulau Pinang Tergesa-gesa


Cadangan Kerajaan Pulau Pinang untuk membina terowong dasar laut di negeri ini mendapat reaksi kurang menyenangkan daripada rakyat khususnya yang melibatkan aspek keselamatan pengguna serta kesan terhadap alam sekitar.

Beberapa peserta majlis dialog mengenai cadangan pelaksanaan projek jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng di sini, pada Ahad mempersoalkan keperluan pembinaan terowong dasar laut itu.

Tony Phuah, 30an, seorang penyelidik bebas mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang dilihat tergesa-gesa mengumumkan cadangan pembinaan terowong itu pada waktu yang hampir dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Mengapa projek ini diumumkan dalam masa yang begitu hampir dengan pilihan raya dan adakah sekiranya pembangkang berjaya ke Putrajaya projek terowong ini akan dibatalkan dan kerajaan akan memperkemaskan sistem pengangkutan awam," katanya dalam soalan kepada Lim.

Lim dalam jawapannya berkata cadangan pembinaan terowong itu telah dirancang sejak 2011 bertujuan membantu menyelesaikan masalah kesesakan di negeri ini.

Lim baru-baru ini mengumumkan pembinaan terowong bernilai RM6.3 bilion itu menghubungkan Gurney Drive di pulau ini dengan Bagan Ajam sebelah tanah besar bertujuan mengurangkan kesesakan serta menambah pendapatan negeri.

Bagaimanapun menurut kajian Pensyarah Perancangan Bandar dan Wilayah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Ahmad Fuzi Arshad pembinaan terowong itu tidak relevan kerana infrastruktur yang ada hari ini sudah memadai.

Beberapa peserta lain pula meminta kerajaan negeri memperkemas sistem pengangkutan awam di negeri ini agar lebih cekap.

"Rakyat sudah tidak mahu tunggu lagi. Kerajaan perlu laksanakan segera apa sahaja yang telah dirancang untuk selesaikan semua masalah trafik di Pulau Pinang," kata seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Michael.

Dalam jawapannya, Lim tetap menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa tidak membantu kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik di negeri ini.

"Kita sudah bekerja keras dalam masa lima tahun ini untuk meningkatkan pengangkutan awam tetapi kerajaan BN yang bercadang untuk membina monorel pada 2006 hingga kini masih belum melaksanakannya.

"Tetapi bagi kita monorel itu sememangnya tidak sesuai dibina di sini dan kita akan membangunkan semula trem yang pernah wujud dahulu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...