Friday 22 March 2013

Mangsa culik Abu Sayyaf selama 17 bulan akhirnya dibebaskan


Setelah 17 bulan diculik kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Sitangkai, Tawi-Tawi pada 2011, Pang Chung Fong akhirnya dibebaskan dan kini kembali ke pangkuan keluarganya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, Chung Fong dibebaskan oleh kumpulan penculik tersebut lima hari lalu, hasil perbincangan secara berhemah dengan kumpulan tersebut.

"Pihak kerajaan berasa sangat bersyukur apabila Chung Fong berjaya dibebaskan oleh kumpulan penculik dan bersimpati dengan nasib keluarga ini setelah mangsa diculik sejak 17 bulan lalu.

"Menyedari keperitan dan trauma yang dihadapi keluarga ini, pihak kerajaan memutuskan untuk mengadakan perbincangan secara baik dengan kumpulan penculik dan membantu membebaskannya," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meluangkan masa bersama Chung Fong dan keluarga mangsa di kediamannya di Sri Gaya.

Yang hadir sama dalam majlis penuh kesyukuran itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Musa berkata, pihak keluarga mangsa turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana keprihatinan beliau terhadap nasib yang menimpa salah seorang ahli keluarga itu.

Sementara itu, Chung Fong turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha membebaskannya daripada kumpulan penculik berkenaan.

Menurutnya, jutaan terima kasih ditujukan khas kepada Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan semua pihak yang telah bertungkus lumus menyelamatkannya daripada episod penculikan itu.

"Saya telah terpisah lama dengan ahli keluarga dan berasa sangat gembira kerana kami dapat bertemu lagi," katanya yang baru tiba dari Kuala Lumpur hari ini.

UTUSAN

1 comment:

  1. slm, tuan mohon pautkan blog saya http://perigitimur.blogspot.com diblog tuan, blog tuan dah sy pautkan dilog sy..slm perjuangan.tq

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...