Friday 22 March 2013

BN Harus Manfaat Ruang Siber Tangkis Dakyah Pembangkang


Kerajaan Barisan Nasional (BN) disaran memanfaat ruang siber sebagai medium menangkis dakyah pembangkang yang bijak memanipulasi maklumat bagi menanam persepsi negatif di kalangan masyarakat.

Pensyarah kanan dan penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM)Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata 'cybertrooper' pro kerajaan perlu menjadi peserta aktif, bukan sahaja dalam ruang blog atau laman web mereka sendiri, malah di ruangan komen portal berita supaya persepsi masyarakat terhadap dasar kerajaan dapat diperbetul.

"Portal berita seperti Free Malaysia Today, Malaysiakini dan Malaysian Insider menjadi rujukan popular. Namun kadangkala ulasan atau komen yang diberi pembaca bertujuan memanipulasi persepsi umum mengenai sesuatu perkara dan ini perlu ditangkis serta merta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program bual bicara 'Kemunculan Media Baru dalam Konteks Malaysia Masa Kini dan Kesan Kepada Masyarakat' anjuran Jabatan Penerangan Pulau Pinang.

Beliau turut menyaran pengendali media alternatif pro kerajaan menjadi lebih kreatif dalam menyalur dan mengolah maklumat agar mudah dicerna serta diterima orang ramai, terutama generasi muda. Dalam program bual bicara hampir dua jam itu, Sivamurugan turut menyelar pengguna siber yang cuba menjadi wartawan tidak bertauliah dengan memanipulasi isu sensasi serta mengeluarkan pendapat masing-masing tanpa mengira sensitiviti atas nama hak kebebasan bersuara.

"Mereka ini menulis tanpa etika, keterbatasan undang-undang dan hasil 'karya' mereka tidak melalui proses penapisan sewajarnya. Ini boleh menimbulkan kekeliruan kepada pembaca," katanya.

Beliau berkata fakta yang dipesong, terutama dilakukan atas kepentingan politik, boleh mengganggu proses memahami situasi sebenar sesuatu keadaan dan menimbulkan suasana tidak tenteram di kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, Sivamurugan menggesa pengguna siber menjadi individu lebih bertanggungjawab dalam menyuarakan pandangan tanpa menggugat keharmonian pelbagai kaum di negara ini.

"Dalam ruang maya, ada maklumat yang salah dianggap benar, begitu juga sebaliknya. Kerana itu, perlu ada kematangan dalam menyalur pendapat. Seseorang individu perlu melalui transisi untuk mencapai kematangan dan yang pastinya, ia diperoleh dari pendidikan dan rasa tanggungjawab," katanya.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...