Friday 22 March 2013

PANAS! Parti DAP Digantung?


Pendaftar Pertubuhan (ROS) digesa menggantung DAP sebagai parti politik sementara menunggu siasatan mengenai dakwaan penyelewengan ketika pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti, selesai.

Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata dakwaan terhadap parti itu mempunyai kepentingan umum. "Bagaimanapun siasatan terhadap aduan anggota parti itu dihalang oleh Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng yang tidak memberi kerjasama sepatutnya kepada pihak berkuasa," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Menurutnya, tindakan Lim itu dilihat sebagai menghalang proses keadilan selain menimbulkan tohmahan yang meninggalkan kesan negatif terhadap reputasi DAP sebagai sebuah parti politik.

Abdul Aziz yang juga bekas Naib Presiden Transparency International Malaysia, berkata Lim sepatutnya sudah tampil dan mengaku bertanggungjawab terhadap skandal itu yang membawa implikasi melangkaui kepentingan parti. "Jika takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Isu ini membabitkan perkara asas yang ada kena-mengena dengan amalan demokrasi, nilai dan prinsip," katanya.

Abdul Aziz berkata ketika pemilihan parti pada Disember lepas, sepatutnya ada 2,576 perwakilan membuang undi bagi memilih 20 anggota CEC, namun 753 perwakilan yang layak tidak diberi peluang berbuat demikian.

"Lim Guan Eng memberi penekanan pada prinsip yang beliau panggil CAT -'Competency, Accountability and Transparency', justeru saya fikir orang ramai berhak menuntut Lim mengamalkan prinsp CAT itu," katanya.

Pemilihan CEC DAP diadakan pada 15 Dis dan keputusannya diumumkan pada hari yang sama, namun kira-kira tiga minggu kemudian DAP mengakui ada beberapa kesilapan dalam pengiraan undi dan membuat pembetulan, menyebabkan beberapa anggota parti membuat aduan kepada ROS.

Sehingga hari ini parti itu juga gagal mematuhi Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan pertubuhan berdaftar termasuk parti politik mengadakan mesyuarat agung dan menghantar laporan tahunan yang turut mengandungi kenyataan kewangan dan senarai anggota jawatankuasanya dalam tempoh 60 hari selepas mesyuarat diadakan.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...