Tuesday 2 April 2013

BREAKING NEWS: Penduduk Parlimen Bagan Bantah Guan Eng Buat Terowong


Lebih 100 nelayan pesisir pantai Bagan Ajam di sini, mengadakan demonstrasi aman membantah tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang meminggirkan mereka dalam cadangan pembinaan terowong dasar laut di negeri itu.

Ketua Unit Nelayan Bagan Ajam, Mazlan Abdul, 45, berkata, kerajaan negeri tidak memikirkan masalah golongan itu termasuk risiko hilang punca pendapatan sekiranya projek tersebut diteruskan.

"Bagaimana kami mahu mencari rezeki selepas ini kerana bot dan sampan kecil kami tidak dapat belayar jauh sekiranya projek itu dilaksanakan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi itu hari ini.

Mazlan berkata, projek itu juga berisiko menjejaskan lebih 1,000 nelayan di Ujong Batu dan Kuala Muda yang sering ke Bagan Ajam untuk menangkap ikan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Tajuddeen Ibrahim menyifatkan projek tersebut hanya membazirkan wang rakyat kerana manfaatnya yang tidak jelas.

Malah, katanya, projek itu juga bakal menyebabkan lebih 6,000 penduduk di kawasan pesisir pantai Bagan Ajam terpaksa dipindahkan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek tersebut.

"Jika untuk pembangunan, kami penduduk di sini beranggapan kawasan Bagan Ajam sudah cukup membangun.

"Saya beranggapan ini semua hanyalah usaha meraih perhatian pengundi kerana pilihan raya umum sudah semakin hampir," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Belia Nelayan Bagan Ajam, Ibrahim Shah Nasir, 33, berkata, projek terowong dasar laut tersebut akan mengambil masa yang panjang untuk disiapkan sekali gus mengganggu rutin kehidupan penduduk di kawasan berkenaan.

"Jika masa yang diambil untuk menyiapkan projek ini terlalu lama, pastinya akan menyebabkan pembaziran dan adalah lebih baik kerajaan negeri menggunakan peruntukan itu untuk membina perumahan rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...