Tuesday 2 April 2013

Luahan Ketua Unit Gempur Marin Di Lahad Datu


Insiden Pencerobohan militan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah seharusnya menjadi iktibar kepada semua bahawa betapa pentingnya menjaga dan mempertahankan keamanan negara.

Ketua Unit Gempur Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pulau Pinang Inspektor Hazri Zakaria berkata peperangan yang berlaku memberi banyak kesan buruk kepada rakyat dan negara selain mengakibatkan banyak kerosakan.

"Kalau boleh elakkan peperangan dan saya sebagai pasukan keselamatan takkan benarkan ini terjadi (lagi). Walaupun dengan kudrat saya, saya akan cuba mempertahankan (negara) bukan saja untuk saya, tetapi untuk generasi akan datang.

"Saya tak nak mereka susah dalam keadaan macam ni, memang cukup susah... cukup tertekan dan banyak kesulitan. Saya lihat penduduk kampung di sana, keresahan mereka untuk teruskan hidup, sampai kena keluar daripada kampung sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kepulangan petugas-petugas Operasi Daulat PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, di sini Selasa.

Pada majlis itu, seramai 16 pegawai dan anggota dari PPM Wilayah 1 Pulau Pinang, Markas Langkawi, Kedah dan Markas Kampung Acheh, Perak menerima surat penghargaan dan cenderahati daripada Timbalan Ketua Ketua PPM Wilayah 1 negeri Supt R. Morgan.

Berikutan keadaan tegang di kawasan operasi, Hazri yang menyertai operasi itu selama lebih sebulan lebih berkata beliau tidak dapat menjawab panggilan mahupun pesanan ringkas (SMS) daripada isterinya kerana mahu memberi tumpuan 100 peratus kepada operasi.

"Tertekan saya tak boleh nak jawab (panggilan dan SMS), saya tak jawab sebab nak bagi tumpuan 100 peratus pada penugasan saya. Kerisauan keluarga ni secara tak langsung terdetik juga. Saya ada minta pegawai di sini untuk tengok-tengokkan isteri dan anak-anak saya," kata bapa kepada dua anak yang berumur antara lapan dan lima tahun.

Sementara itu, berkongsi pengalaman bertugas dalam Operasi Daulat, Koperal Norhazeni Ahmad yang mengetuai Jentera Bot PSC 52 yang berpangkalan di Lahad Datu berkata detik mencemaskan adalah apabila bot yang dinaiki hampir terkena bom pihak pengganas.

"Saya sebagai ketua jentera diarahkan ke zon merah iaitu di kawasan Tanjung Labian. Jarak antara perairan laut Tanjung Labian ke darat lebih kurang satu batu. "Waktu itu berlaku pertempuran di mana pihak keselamatan dan pihak musuh bertempur. Pada waktu tu kami telah diserang hendap dan berlaku tembakan menyebabkan bot kami hampir dibom dengan jarak bot lebih kurang 20 meter. Alhamdulillah, pada waktu itu kami semua terselamat," katanya. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...