Tuesday 2 April 2013

Guru Trauma Akibat Pencerobohan Pengganas Di Lahad Datu Pulih


Guru yang mengalami trauma akibat kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna, Sabah diyakini telah pulih dan dapat menjalankan tugas seperti biasa.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kementerian juga menghantar lima kaunselor yang pakar untuk melatih guru di sekolah yang terlibat dengan kejadian pencerobohan tersebut sebagai kaunselor, selain membantu guru yang trauma dengan insiden itu.

"Memang ada kes guru tidak datang mengajar kerana trauma, namun keadaan telah pulih dan mereka kembali bertugas seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pemantapan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah Parlimen Pokok Sena di Sekolah Menengah Sains Pokok Sena di sini, Isnin.

Turut hadir Ketua Umno bahagian Pokok Sena Datuk Ahmad Lebai Sudin dan setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.

Menurut Mohd Puad, guru yang tinggal di Semporna dan terpaksa menaiki bot ke Pulau Bumbum untuk mengajar, juga tidak perlu bimbang kerana mereka ditemani anggota keselamatan.

Mengenai penempatan baharu sekolah di Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), beliau berkata kementerian akan mematuhi arahan pihak berkuasa.

Katanya dua buah sekolah di Lahad Datu yang masih ditutup kerana kerosakkan teruk akibat terkena tembakan dalam kejadian itu, ialah Sekolah Kebangsaan (SK)Lok Buani dan SK Tanjung Labian.

"Kedua-dua sekolah rendah ini perlu dibaiki sebelum boleh dibuka semula," katanya.

Murid kedua-dua sekolah itu ditempatkan di beberapa lokasi termasuk di Dewan Kampung Cenderawasih, Dewan Kampung Embara Budi, Dewan Kampung Fajar Harapan dan Kampung Kembara Sakti.

Katanya murid dari Kampung Cenderawasih menumpang belajar di SK Cenderawasih, murid dari Kampung Embara Budi ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Embara Budi manakala murid dari Kampung Fajar Harapan dan Kampung Embara Sakti menumpang di SK Cenderawasih. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...