SELEPAS berjaya mendapatkan beberapa nama besar bagi menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan, Johor terus bernafsu menyambar pemain berstatus bintang dengan terbaru mendapatkan khidmat penyerang sensasi negara, Safee Sali.
Kehadiran pemenang kasut emas Piala AFF edisi lalu itu menambahkan lagi senarai pemain bintang yang berjaya diikat Harimau Selatan sebelum ini, antaranya termasuklah bekas pemain Getafe, Daniel Gonzales Guiza serta Simone Del Nero.
Dalam misi untuk memenangi Piala Malaysia musim depan, Johor sebelum ini turut berjaya mendapatkan beberapa pemain bintang tempatan seperti kapten skuad negara, Safiq Rahim, Muslim Ahmad serta Aidil Zaquan Adha Abd Razak serta seorang lagi penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Suhairi Hashim ketika mengumumkan perkara itu malam tadi, berkata Safee akan beraksi secara pinjaman selama setahun selepas mendapat pelepasan kelab lamanya, Arema Indonesia.
“Kontrak Safee berkuat kuasa 1 Disember hingga 30 November 2013,” katanya yang menegaskan pihaknya sanggup hadir dari Johor semalam sejurus selepas menerima surat pelepasan rasmi dari Arema.
“Saya tidak dapat mendedahkan nilai perpindahan serta gajinya,” katanya sambil tidak menolak gaji yang diterima Safee lebih tinggi berbanding yang ditawarkan Arema.
Sebelum ini ketika di Pelita Jaya yang kemudiannya bertukar nama kepada Arema Indonesia, Safee difahamkan menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) menerusi kontrak lumayan bernilai RM2 juta selama dua tahun iaitu sehingga 2014.
Sidang media malam tadi sepatutnya dihadiri Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta Safee, namun ia tidak menjadi kenyataan selepas penyerang sensasi negara itu berada di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjalani latihan bersama skuad negara.
“FAM mempunyai undang-undang mereka yang tidak membenarkan pemain keluar dari kawasan latihan. Kita kena hormat undang-undang itu dan akan usahakan yang terbaik untuk mendapatkan tandatangannya malam ini (semalam) juga,” katanya.
Kesungguhan PBNJ serta Tunku Ismail untuk mendapatkan Safee dibuktikan selepas sidang media, rombongan itu terus menuju ke Wisma FAM untuk mendapatkan tandatangan Safee.
Teman Kutip dari Harian Metro
No comments:
Post a Comment