Friday 8 February 2013

Nik Aziz Gesa Artis Korea ‘Psy’ Tutup Aurat



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menggesa artis sensasi Korea Selatan Psy agar ‘menutup aurat’ ketika mengadakan persembahan di majlis sambutan Tahun baru Cina pada 11 Februari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedatangan artis popular dengan lagu ‘Gangnam Style’ itu ke Malaysia kerana menyangkakan dia adalah seorang wanita.

Apabila dimaklumkan mengenai jantina penyanyi tersebut, Menteri Besar Kelantan itu lantas menukar kenyataannya dengan menyuarakan kebimbangan mengenai kandungan lagu-lagu yang bakal disampaikan.

Nik Aziz juga dilihat kebingungan bilamana dimaklumkan penyanyi tersebut berasal dari Korea sambil mempertikaikan bagaimana orang boleh mendengar lagu-lagu dalam bahasa yang mereka tidak faham.

Penulis tidak mempertikaikan pengetahuan Nik Aziz mengenai artis popular tersebut, kerana menghormati status ‘ulama’ dikalungkan oleh pengikut Pas kepadanya. Namun apa yang dikesalkan bilamana beliau cuba ‘berlagak pandai’ mengeluarkan pandangan terhadap isu yang beliau sendiri tidak tahu.

Walaupun perkara yang dibangkitkan ini hanyalah merupakan ‘isu terpencil’ namun ia secara tidak langsung membuktikan adalah tidak mustahil untuk dirinya tersilap mengeluarkan pandangan terhadap isu-isu lain. Ini kerana, dengan kejadian ini wujud kebarangkalian untuk dirinya melakukan perkara yang sama dalam ‘memberi pandangan’ tanpa mengetahui duduk sebenar satu-satu perkara.

Ini kerana, sebagai seorang pemimpin yang diangkat ke taraf ‘ulama’ oleh pengikut Pas, pandangan Nik Aziz adalah merupakan satu fatwa yang WAJID dipatuhi oleh ahli, pengikut dan penyokong tanpa sebarang persoalan.

Sebagai contoh, lihat sahaja fatwa yang dikeluarkan oleh Hadi Awang sebelum ini. Ekoran ‘terkhilaf’ dalam memberikan pandangan, ia telah mengakibatkan ketabsuban pengikut di Kedah sehingga sanggup menyerang pihak berkuasa dengan senjata yang akhirnya membawa kepada tragedi berdarah di Memali.

Disebabkan tragedi itu, Hadi Awang sehingga sekarang ‘takut’ untuk menarik semula amanat yang pernah dikeluarkan sebelum ini. Walaupun majoriti rakyat mendesak, Hadi tetap berkeras untuk mempertahankan amanat tersebut.

Ini kerana beliau sedar, sekiranya amanat tersebut ditarik kembali, ia secara tidak langsung membuktikan kenyataannya sebelum ini tersilap dan bakal menyebabkan dirinya dipersoal dan dipersalahkan.

Tidak cukup dengan itu, sudah pasti waris mangsa Memali akan menuntut Hadi Awang untuk bertanggungjawab ke atas mereka yang terkorban di dalam tragedi berdarah itu. Penarikan amanat itu, akan menyebabkan status ‘syahid’ mangsa juga boleh dipertikaikan. Ini kerana disebabkan amanat itu telah menyebabkan ramai wanita menjadi balu, anak-anak menjadi yatim dan piatu serta yang paling menyedihkan wang derma yang dikutip atas nama mereka ‘hilang’ dan dilesap begitu sahaja.

Kesimpulannya inilah natijah dan bahaya yang menimpa sekiranya pemimpin politik diangkat sebagai ‘ulama’ dan tersilap dalam memberikan pandangan. Lebih malang lagi, bila mana pandangan yang silap itu diangkat sebagai ‘fatwa’ dan diikuti dengan membabi buta oleh para pengikut yang taksub.

Suara Generasi Baru

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...