Semakin hari, polemik pengunaan kalimah Allah di dalam Bible semakin membuka hati dan minda masyarakat Malaysia khususnya warga Islam dan Melayu. Hampir saban hari, masyarakat di hidangkan dengan pelbagai kenyataan yang saling bercanggah di kalangan pemimpin pakatan pembangkang bagi mengelakkan isu yang mereka bangkitkan ini menjadi peluru yang ‘makan tuan’.
Itu belum lagi dikira dengan pelbagai bantahan di kalangan penyokong Pas sendiri, sama ada yang dizahirkan secara terbuka mahupun secara berselindung. Terbaru Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba mengalihkan isu sebenar dengan menyalahkan Umno dengan isu ini.
Minggu lalu, ketika berucap di salah satu program Pas Hadi mengatakan isu ini adalah merupakan kerja Umno bagi menghadapi pilihanraya umum dan bertujuan untuk memancing undi.
Hadi Awang mungkin terlupa, isu pengunaan kalimah Allah untuk kitab Bible ini telah dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika menyampaikan perutusan sempena sambutan hari Natal yang lalu. Malah rata-rata pemerhati politik, pensyarah universiti malah pimpinan pakatan pembangkang di kawasan turut mengakui kenyataan Guan Eng sebelum ini bertujuan untuk menarik sokongan pengundi Kristian khususnya di Sabah dan Sarawak.
Malah Hadi sendiri semasa membuat kenyataan selepas mesyuarat Majlis Presiden pakatan tempoh hari juga telah memberikan persetujuan untuk membenarkan pengunaan kalimah tersebut oleh mereka yang bukan beragama Islam. Namun setelah mendapat bantahan hebat dari Majlis Syura Pas, Hadi Awang dan Nik Aziz terpaksa akur dan menarik kembali keputusan yang dibuat sebelum ini.
Yang lebih menarik, setelah mendapat bantahan dari Majlis Syura Pas, Nik Aziz selaku Mursyidul Am Pas telah melakukan kunjung hormat ke Pulau Pinang bagi menjernihkan suasana. Beliau turut diraikan oleh pimpinan DAP yang turut dihadiri oleh Karpal Singh sempena sambutan hari kelahiran beliau.
Perjumpaan tersebut mendapat liputan meluas oleh media dan portal pembangkang seolah-olah untuk memberikan gambaran kepada masyarakat, bahawa kemelut yang melanda antara DAP – Pas sebelum ini telah selesai.
Namun tidak lama selepas itu, Karpal Singh sekali lagi memberikan tamparan hebat berhubung kenyataan Nik Aziz yang mengatakan isu tersebut telah selesai. Menurut Karpal isu tersebut langsung tidak dibangkitkan di dalam perjumpaan tersebut.
Berang dengan ‘tamparan hebat’ Karpal itu, Menteri Besar Kelantan ketika diminta memberikan reaksi mengatakan ‘itu dia punya pasal’ dan mengatakan Karpal tidak tahu mengenai Pas kecuali orang Pas.
Oleh yang demikian, secara keseluruhan kenyataan Hadi Awang yang menyalahkan Umno adalah merupakan satu tindakan ‘hand break’ untuk cuba mengalihkan perhatian masyarakat. Ini kerana yang membangkitkan isu ini adalah Guan Eng (DAP), yang bersetuju dengan pengunaan tersebut ialah Anwar (PKR), Hadi Awang dan Nik Aziz (Pas) manakala yang membantah ialah kepimpinan Majlis Syura dan penyokong Pas di kawasan.
Itu belum lagi dikira, pembohongan Nik Aziz yang mengatakan polemik mengenainya telah selesai yang akhirnya membuatkan Karpal Singh ‘panas telinga’ kerana ia langsung tidak dibincangkan sama sekali sebelum ini.
Lebih melucukan bilamana semalam, Hadi mengatakan dia tidak akan membawa keputusan Majlis Syura kepada Majlis Presiden dengan mengatakan kerana pakatan pembangkang belum lagi memerintah negara. Hadi turut mengatakan sepatutnya isu ini dibincangkan oleh kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri dan bukannya menyeret pimpinan pakatan.
Persoalannya isu ini dibangkitkan oleh pihak pakatan dan bukannya kerajaan Barisan Nasional malah kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan untuk membenarkan pengunaan kalimah tersebut oleh mereka yang bukan beragama Islam. Dalam erti kata lain, kerajaan tidak pernah cuba untuk mengadaikan dan melacurkan kesucian agama Islam semata-mata untuk meraih undi an sokongan rakyat seperti pakatan pembangkang.
Kesimpulannya, bila mana strategi yang diguna pakai oleh pakatan memakan diri, seperti kelazimannya mereka dengan pantas akan menyalahkan Umno. Apapun rakyat bukan bodoh untuk menilai permainan pimpinan atasan pembangkang semata-mata untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Suara Generasi Baru
No comments:
Post a Comment