Showing posts with label Felda Sahabat. Show all posts
Showing posts with label Felda Sahabat. Show all posts

Sunday, 17 March 2013

FELSCO Paling Awal Kesan Pengganas Sulu


Mungkin ramai tertanya-tanya, siapakah antara mereka yang terawal berjaya ‘menghidu’ kehadiran puak pengganas militan Sulu di sini? 

Jawapannya ada pada dua orang anggota polis bantuan FELDA yang ketika itu sedang memancing ikan kira-kira pukul 4 pagi berhampiran Kampung Tanduo yang terletak tidak jauh dari Felda Sahabat. Mereka berdua ketika itu sedang bercuti. 

Ketika sedang leka memancing, mereka ternampak sekumpulan lelaki bersenjata itu tiba dengan bot panjang, lengkap berpakaian celoreng. 

Menyedari kehadiran ramai lelaki yang ‘mencurigakan’ di kawasan tersebut, anggota polis bantuan FELDA berkenaan berjaya menyusup keluar dari situ dan memaklumkan apa yang mereka saksikan kepada pihak polis, tanpa langsung disedari oleh pengganas yang rata-ratanya bersenjata api. 

Tindakan berani anggota berkenaan tidak berakhir di situ, khidmat pasukan polis FELDA juga kemudiannya terus digunakan untuk menjejaki mereka yang terlibat. 

Bagi Ketua Polis Bantuan FELDA, Datuk Jalaluddin Ibrahim, beliau menghargai tindakan berani pegawai dan anggotanya walaupun mereka berhadapan dengan risiko yang sangat besar. 

”Mereka adalah antara benteng awal di sini, bahaya yang mereka hadapi bukannya sikit namun keberanian mereka membantu pihak polis cukup mengkagumkan. 

”Bahkan mereka memberitahu saya, biar apa pun yang terjadi, mereka tidak akan tinggalkan Felda Sahabat ini, mereka nekad terus melindungi harta kita, nyawa penduduk serta peneroka,” katanya pada Mynewshub.my di sini, hari ini. 

Sementara itu bagi Inspektor Muhammad Lamin, pengalamannya bertugas selama 11 tahun di Felda Sahabat tidak sia-sia apabila khdimatnya digunakan pihak polis untuk menjejaki persembunyian penceroboh yang dimaksudkan. 

”Saya berbangga kerana dapat menyumbang pengalaman saya dalam operasi penjejakan…selama beberapa hari kami mendekati zon bahaya tanpa disedari langsung oleh pihak pengganas. 

”Terus terang, saya dapat lihat sendiri bagaimana pergerakan mereka, di mana mereka bersembunyi malah sempat melihat aktiviti seharian pengganas ini seperti lokasi tempat mereka mandi dan sebagainya. 

”Tak banyak sikit, maklumat ini saya percaya telah membuatkan pasukan keselamatan kita berjaya dalam beberapa siri pertempuran dari hari pertama serangan hinggalah sekarang,” katanya yang telah lebih 20 tahun berkhidmat sebagai anggota polis bantuan FELDA. 

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini dipetik sebagai berkata, tahap keselamatan di Felda Sahabat akan ditingkatkan ekoran kejadian pencerobohan. 

Ahmad berkata, beliau akan mencadangkan kepada pihak atasan supaya polis bantuan Felda dibekalkan senjata api lebih canggih manakala anggota Rela turut dibekalkan senjata api. 

Malah, beliau juga bersetuju pihak pengurusan Felda sahabat menambah bilangan anggota Rela daripada 200 orang kepada 400 orang. 

“Ini membolehkan tahap keselamatan dapat ditingkatkan supaya insiden pencerobohan terutama yang boleh mengancam keselamatan keluarga Felda tidak berlaku,” ujarnya. 

Selain itu juga, katanya kerajaan juga sudah bersetuju jeti di Felda Sahabat digunakan sebagai balai bagi membolehkan anggota agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) beroperasi. - Mynewshub
-

Friday, 15 March 2013

PANAS! Mazlan Aliman Tak Nak Berceramah Kat Sini Ke?


Felda menyalurkan pelbagai bantuan berjumlah kira-kira RM120,000 kepada peneroka dan keluarga mereka termasuk penduduk kampung serta anggota keselamatan, di Felda Sahabat, berhampiran Kampung Tanduo berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, sejak berlakunya insiden pencerobohan itu, Felda telah bertindak menyalurkan pelbagai bantuan kepada peneroka dan keluarga mereka serta penduduk kampung yang terlibat.

“Beberapa pegawai Felda telah dihantar ke sana bagi menguruskan bantuan makanan dan minuman serta bantuan lain kepada peneroka dan penduduk kampung berkenaan.

“Setiap bantuan yang disalurkan mengikut nasihat anggota keselamatan bagi memastikan keselamatan semua termasuk peneroka dan keluarga mereka terjamin,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Difahamkan, sumbangan makanan dan minuman disediakan oleh Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda, sebuah persatuan yang dianggotai oleh penerokawati di Felda.

Antara bentuk bantuan lain yang disalurkan Felda termasuklah kemudahan tandas bergerak, sistem perairan dan pengurusan bekalan yang berkaitan dengan tenaga elektrik.

Difahamkan, terdapat kira-kira 3,500 ahli keluarga peneroka termasuk 872 peneroka, yang tinggal di kawasan penempatan antara Felda Sahabat 1 dan 5.

Manakala kawasan Felda Sahabat 16 iaitu kawasan yang paling hampir dengan tempat pertempuran dan pencerobohan kumpulan Sulu, diuruskan oleh anak syarikat Felda iaitu Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yang tidak melibatkan peneroka.

Mengenai bantuan atau kemudahan lain, Mohd Isa berkata, ia bergantung pada keadaan di sana dan nasihat daripada anggota keselamatan.

“Kita juga menunggu laporan daripada pegawai Felda di sana mengenai situasi yang dihadapi peneroka yang berada di Felda Sahabat,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada terdapat penafsiran berbentuk bantuan lain atau pampasan untuk peneroka yang menerima kesan daripada insiden yang berlaku di Lahad Datu, Mohd Isa berkata, tiada perancangan mengenainya pada masa ini.

“Kita perlu tunggu dahulu laporan daripada pegawai-pegawai di sana. Setakat ini, belum ada maklumat yang memerlukan kita untuk mengadakan rancangan itu.

“Dalam keadaan sekarang di Lahad Datu, para pegawai sukar untuk membuat sebarang tafsiran. Ini bergantung pada keadaan dan keperluan sekiranya perlu. Jika ada perancangan yang lain, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

Difahamkan, FGV turut memberikan sumbangan kepada peneroka dan keluarga mereka serta penduduk kampung di sekitar gugusan Felda Sahabat.

Mohd Isa berkata, aktiviti peneroka di Felda Sahabat pada masa ini berjalan seperti biasa.

"Tengok tempat dan keadaan, kalau tempat itu pihak polis dan tentera kata boleh beroperasi kita akan jalankan tapi kalau kata tidak boleh, kita tak jalan," katanya.

mstar
-

Thursday, 14 March 2013

BREAKING NEWS : Dua Buah Helikopter Agusta Westland Milik Tentera Darat Tiba di Felda Sahabat


Dua helikopter pelbagai guna milik Tentera Darat, Agusta Westland AW109 tiba di padang markas Operasi Daulat di Felda Sahabat 16, dekat sini, Khamis.

Helikopter jenis peninjau dan pengangkut menggunakan enjin berkembar serta mampu memuatkan lapan penumpang itu diperlukan bagi mengukuhkan lagi kekuatan pasukan keselamatan dalam usaha menggempur pengganas sejak pencerobohan dikesan 12 Feb lepas.

Ia susulan pengumuman Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, semalam bahawa kekuatan dari segi aset dan anggota Operasi Daulat perlu ditambah untuk terus menggempur penceroboh militan khususnya di Kampung Tanjung Batu dan Sungai Nyamuk.

Zulkifeli berkata langkah menguatkan pertahanan dan kawalan itu bertujuan menutup terus laluan kepada musuh daripada menceroboh ke negara ini sama ada di laut atau di darat.

Selain helikopter itu, 12 kereta perisai berantai jenis Adnan dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia juga dijangka tiba di sini secara berperingkat.

Sejak pencerobohan, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh, manakala lapan anggota polis dan dua tentera gugur di pihak Malaysia. -BERNAMA
-

Saturday, 9 March 2013

KEMASKINI 8.05 PM : Operasi Gempur di Felda Sahabat

OP DAULAT...Angkatan tentera melancarkan serangan di kawasan pengganas yang masih bersembunyi di Kampung Tanduo, Lahad Datu

Pasukan keselamatan pada Sabtu meningkatkan kekuatan dengan penambahan anggota ke ground zero bagi mempercepat proses membersihkan Lahad Datu daripada penceroboh militan, sekali gus menamatkan konflik pencerobohan di daerah itu.

Kor bantuan tempur dari Kuching berlepas ke Lahad Datu hari ini, hari kelima Operasi Daulat dilancar, bagi membantu operasi menggempur habis-habisan dan memburu saki-baki penceroboh di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu.

Operasi susulan dan penggeledahan bagi memburu saki-baki penceroboh militan hari ini kembali menyaksikan kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan itu.

Kawasan Felda Sahabat 16 turut digegar dengan beberapa bunyi dentuman bom dari kawasan zon merah pada pukul 1 pagi dan 7.30 pagi dengan bunyi pesawat dan helikopter berlegaran di ruang udara kawasan ground zero itu.

"Seorang penceroboh bersenjata ditembak mati dalam kejadian di Tanjung Batu pada pukul 8 pagi ini, menjadikan jumlah keseluruhan musuh yang terbunuh setakat ini ialah 53 orang," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Di sebalik langkah ofensif pasukan keselamatan menggempur Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, kira-kira pukul 10 pagi ini polis mengesan beberapa orang yang mencurigakan di kawasan pantai Tanjung Batu.

Seramai 27 orang yang menaiki tiga bot ditahan berhampiran kawasan pantai Kampung Tanjung Batu dan kesemua mereka diserah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan.

"Tiada senjata ditemui pada mereka," kata Ismail.

Jumlah mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan sehingga 5 petang ini ialah 106 orang.Mengenai dakwaan bahawa pihak musuh menawan beberapa individu, Ismail menegaskan: "Tiada orang awam atau polis yang menjadi tawanan musuh". Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata penceroboh militan dari selatan Filipina itu kini terperangkap dalam kepungan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu memaksa mereka bergerak dalam kumpulan kecil.

Kawalan ketat yang dilakukan di lokasi itu sejak Operasi Daulat dilancarkan tidak memungkinkan penceroboh bersenjata itu memboloskan diri, katanya.

"Mereka tidak mungkin lepas daripada kepungan. Mereka cuma dapat keluar dari Kampung Tanduo ke Kampung Tanjung Batu melalui jalan hutan sekunder serta berpaya, bukan melalui jalan darat dan laut...jadi, kami akan perketat kepungan di kawasan itu," katanya.

Zulkifeli berkata sejak gerakan ofensif dan beberapa serangan susulan dilancarkan penceroboh kini mula menyembunyikan diri di dalam semak serta hutan tebal dan pokok-pokok besar, bukan lagi di dalam rumah penduduk.

Pasukan keselamatan melancarkan gerakan ofensif terhadap kumpulan penceroboh militan dari Sulu pada 5 Mac.

Sepanjang konflik yang bermula 12 Februari itu seramai lapan anggota polis terkorban dan 53 musuh ditembak mati. -BERNAMA
-

TERKINI OP DAULAT : Letupan Di Felda Sahabat!


Keadaan di Felda Sahabat adalah terkawal biarpun bunyi beberapa siri letupan bom dilepaskan di kawasan zon merah dalam Op Daulat selepas 24 jam tiada pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan Sulu yang menjadikan Kampung Tanduo dan Tanjung Batu, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, sebagai kubu sejak 12 Februari lalu.

Malah di bandar Lahad Datu dan bandar Semporna, yang terletak 150 kilometer dari sini, adalah terkawal dan tenang dengan aktiviti masyarakat serta premis perniagaan berjalan seperti biasa.

Di Felda Sahabat 16, kedengaran beberapa bunyi dentuman bom yang datang dari kawasan zon merah Op Daulat pada 1 pagi dan 7.30 pagi.

Selain itu pada pagi ini turut kedengaran pesawat helikopter berlegaran di ruang udara Felda Sahabat.

Namun bagi penduduk Felda, Norashikin Sarbani, 33, berkata mendengar bunyi letupan itu membuatkan hatinya berdebar tetapi yakin ia bunyi letupan daripada pasukan keselamatan.

"Kami di sini rasa lebih selamat kerana kehadiran pasukan keselamatan yang ramai. Kami sudah tidak takut," katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau markas Op Daulat di Felda Sahabat, Khamis lalu berkata Malaysia menolak sebarang tawaran gencatan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi penceroboh itu ialah letak senjata dan serah diri tanpa bersyarat.

Gerakan Op Daulat yang memasuki hari kelima hari ini mengesahkan 52 penceroboh militan terbunuh.

Sejak pencerobohan itu juga seramai lapan anggota polis terkorban iaitu dua wira terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serang hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac.

Malahan bagi peneroka Mujhi Bakrun, 39, beliau kini tidak perlu risau kerana kesungguhan kerajaan untuk menghapuskan kumpulan penceroboh militan itu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersungguh untuk jaga keselamatan rakyat di Sabah," katanya.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka tiba di Felda Sahabat pada 10 pagi ini untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada 1,800 penduduk kampung yang berpindah dari zon merah serta ditempatkan di Dewan Cenderawasih, Dewan Embara Budi dan Dewan Fajar Harapan dekat sini. - BERNAMA
-

Thursday, 7 March 2013

Ops Daulat: Perkara Tersirat Yang Rakyat Perlu Tahu


OPERASI Daulat atau Ops Daulat yang dilancarkan ketiga-tiga cabang dalam Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan polis semalam, merupakan satu sejarah baru dalam bidang peperangan di negara kita.

Walaupun pesawat pejuang pernah digunakan untuk mengebom kedudukkan pengganas komunis semasa era insurgensi dahulu tapi di era moden ini, inilah kali pertama pesawat pejuang canggih negara seperti FA 18D Hornet dan Hawk 208 digunakan untuk menghapuskan ancaman musuh.

Disamping itu, penggunaan pertama kali bom panduan laser atau biasa dipanggil Laser Guided Bomb (LGB) ini merupakan satu catatan baru dalam sejarah dalam bidang ketenteraan negara kita.  Bom LGB Paveway seberat 500 paun yang digunakan semalam sebetulnya baru diperolehi pada 2011 dari syarikat Lockheed Martin, USA.

Bom ini sebenarnya tidak mampu memandu dirinya sendiri ke arah sasaran tanpa bantuan Ground LaserTarget Designation (GLTD).  GLTD ini biasanya hanya dioperasikan oleh pasukan khas tentera udara, PASKAU yang perlu masuk ke dalam kawasan musuh untuk menandakan sasaran.


Dalam erti kata lain, sasaran tidak ditanda secara rawak sehingga ia boleh tersasar seperti yang didakwa ketua lanun Sulu, Azzumudie Kiram kepada abangnya, Jamalulail Kiram, setengah jam selepas serangan udara bermula pada 4 Mac 2013.

Hanya kerana ia tidak mengenai dan membunuh lanun-lanun Sulu tersebut, tidak bermaksud bom itu tersasar.  Bom itu tdak tersasar, cuma sasarannya bukan lanun Sulu seperti jangkaan Azzumudie.  Atau mungkin juga sasarannya mengena dan semua lanun berkenaan hancur berkecai sehingga sukar dikenal pasti.

Persoalan ini bagi menjawab persoalan ramai, pihak kenapa setakat ini pasukan keselamatan hanya berjaya menjumpai mayat 12 lanun Sulu yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan Komando VAT69 pada Jumaat lepas, yang turut mengorbankan 2 anggota mereka dan mencederakan 3 yang lain.

Ingat, proses menggeledah oleh pasukan khas keselamatan dari rumah ke rumah, masih belum selesai dan sama-samalah kita berdoa agar semua lanun-lanun terbabit mati dan tidak menyusahkan lagi rakyat negara kita.

Amin.


-

PM Minta Rakyat Doa Keselamatan Wira Negara


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia supaya mendoakan wira negara yang menumpaskan musuh di Sabah.

“Saya mahu katakan, wira-wira negara kita berhadapan dengan risiko dalam operasi yang sedang berjalan pada masa ini.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan keselamatan mereka dan juga supaya musuh negara dapat ditumpaskan, dan membanterasnya untuk semua,” katanya semasa lawatan kerja ke ibu pejabat Tenaga Nasional Bhd (TNB) di sini Rabu.
-

Polis Cedera Dalam Insiden Tembak-Menembak Di Semporna


Pegawai dari cawangan khas, Bukit Aman yang cedera dalam insiden tembak-menembak di Semporna dihantar pulang ke sini bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Dipercayai, pegawai itu adalah Inspektor Mohd Hasnal Jamil, 31, yang terselamat dalam kejadian tembak-menembak pada Ahad ketika menentang penceroboh Sulu bersenjata.

Difahamkan, beliau tiba di bangunan terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 6.25 petang menggunakan pesawat komersial.

Sumber polis yang ditemui di KLIA berkata, anggota polis yang cedera itu akan dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

mStar
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...