Tuesday 19 February 2013

Cari Dalang Sampai Lubang Kubur!



Satu pasukan petugas khas polis ditubuh bagi menyiasat kejadian penggodaman sistem aplikasi dalam laman web Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Ia ditubuhkan di bawah Unit Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman.

Pengarah JSJK Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata meskipun insiden itu yang pertama melibatkan sistem aplikasi berkenaan, tindakan dan siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan ia tidak berulang.

"Kami akan siasat dan kenal pasti dalang kejadian ini dan seterusnya mengambil tindakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 5, Akta Jenayah Komputer 1997 itu melibatkan pelbagai aspek, termasuk berhubung alamat Protokol Internet (IP) yang merekodkan pengguna dari luar negara.

Pada Isnin, sistem aplikasi e-Akhbar dan e-Press milik jabatan itu digodam dengan penyiaran dua kenyataan bertajuk Memo Permohonan Rakyat Malaysia dan Perdana Menteri Secara Rasminya Meletak Jawatan.Berikutan kejadian itu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan semua jabatan dan kementerian meningkatkan tahap keselamatan laman web masing-masing untuk mengelak ancaman penggodam.

Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman membuat laporan polis berhubung pencerobohan kedua-dua sistem aplikasi itu.

Beliau mengesyaki ia dilakukan untuk mencetuskan suasana tidak menentu dalam negara dan sekali gus mencemarkan imej dan nama baik jabatan itu yang berfungsi sebagai media rasmi kerajaan. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...