Showing posts with label Wira Negara. Show all posts
Showing posts with label Wira Negara. Show all posts

Wednesday, 13 March 2013

ALFATIHAH: Jenazah Dua Wira Negara Selamat Disemadi

Husin Ismail, 55 (dua, kanan) menyiram air di pusara anaknya, Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayu Lalang di Pasir Mas, pada Rabu

Jenazah dua wira negara Kpl Ahmad Hurairah Ismail dan Kpl Ahmad Farhan Ruslan yang gugur dalam Operasi Daulat menentang militan dari Sulu semalam, selamat dikebumi di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Ahmad Hurairah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lalang, tidak jauh dari rumah keluarganya di sini, manakala Ahmad Farhan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor di Kota Baharu.

Upacara pengebumian kedua-dua wira negara itu diadakan penuh istiadat ketenteraan dan turut dihadiri anggota dan pegawai tinggi tentera.

Jenazah Ahmad Hurairah dan Ahmad Farhan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dengan pesawat Charlie C-130 pada pukul 9.50 pagi, dan dibawa ke kampung halaman masing-masing dengan van jenazah.

Terdahulu jenazah kedua-dua wira negara itu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang sejurus sebelum 8 pagi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu.

Ahmad Hurairah, 24, terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan militan di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu di Lahad Datu, Sabah semalam manakala Ahmad Farhan, 21, terbunuh dalam kemalangan di Jalan Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi untuk Operasi Daulat.

Jenazah Ahmad Hurairah tiba di rumah keluarganya di Kampung Bayu Lalang di sini untuk disembahyangkan pada pukul 11.15 pagi.

Antara yang turut sembahyang jenazah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub.

Suasana agak hiba seketika apabila Zulkifli menyerahkan sumbangan daripada pelbagai pihak kepada bapa Allahyarham, Ismail Hussin, 54, sebaik selesai majlis pengebumian itu.

Di KOTA BAHARU, jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah keluarganya di Taman Desa Darulnaim II, di Pasir Tumboh di sini dan disemadikan pada pukul 12 tengah hari.

Antara yang hadir pada pengebumian wira negara itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Abdul Latiff kemudian menyerahkan bendera Malaysia yang membaluti keranda kepada bapa Allahyarham.

Ruslan ketika ditemui di tanah perkuburan itu berkata beliau amat berterima kasih di atas penghargaan pasukan tentera apabila memberi penghormatan terakhir yang begitu tinggi terhadap anaknya.

"Saya reda dengan pemergian anak saya yang memang berminat mewarisi jejak saya untuk menjadi askar sejak kecil lagi," kata bekas tentera itu yang menamatkan perkhidmatan terakhirnya di Kem Terendak, Melaka pada 2004. -BERNAMA
-

TERKINI 11.00 Pagi : Jenazah Dua Anggota Tentera Gugur Tiba Di Pengkalan Chepa

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengaminkan bacaan doa ketika memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail dan Prebet Ahmad Farhan Roslan yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) di sini, Rabu. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar

Jenazah dua anggota tentera yang terkorban dalam Ops Daulat kelmarin selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, di sini, jam 10 pagi Rabu menggunakan pesawat Charlie C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
-

UPDATE 13 MAC 9.15 Pagi : Jenazah dua anggota tentera gugur di Lahad Datu tiba di Pangkalan TUDM Subang


Jenazah dua anggota tentera yang terkorban dalam Ops Daulat menentang pengganas Sulu di Lahad Datu semalam, tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari ini.

Pesawat C-130 milik TUDM yang membawa jenazah Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Roslan, 21, mendarat sejurus sebelum 8 pagi.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu manakala Ahmad Farhan terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lahad Datu-Chenderawasih ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah.

Najib dan Ahmad Zahid memasuki pesawat dan memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua wira negara itu. Allahyarham Ahmad Hurairah merupakan anggota Angkatan Tentera Malaysia pertama yang terkorban sejak insiden pencerobohan pengganas di Sabah bermula 12 Feb.

Anak kelahiran Kelantan itu terkorban dalam pertempuran yang berlaku pada 10.45 pagi semalam yang turut menyaksikan seorang lagi perajurit cedera dan dua musuh terbunuh.

Sehingga kini, 10 anggota keselamatan gugur dalam insiden pencerobohan bersenjata itu manakala 56 musuh ditembak mati. - BERNAMA
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...