Showing posts with label Ahmad Hurairah Ismail. Show all posts
Showing posts with label Ahmad Hurairah Ismail. Show all posts

Wednesday, 13 March 2013

Lahad Datu : Kisah Sedih Teman Wanita Wira Negara Koperal Ahmad Hurairah

Ibu kepada Koperal Ahmad Farhan, Roslawati Ghani menyiram pusara anaknya

"Dia pergi kerana negara dan saya tahu semua rakyat berbangga dengannya.

"Apakan daya ALLAH lebih menyayangi dia dan saya terima dengan penuh keredaan bahawa insan yang saya sayang telah pergi buat selama-lamanya,"

Ungkapan sayu teman wanita wira negara Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah, 24, yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas di Sungai Nyamuk Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah semalam. Teman pun rasa sayu. Menurut laporan Bernama, kedua-duanya  berhasrat untuk bertunang dan melangsungkan perkahwinan secara serentak sebaik pulang selepas menamatkan misi di Lahad Datu. Apa kan daya, Allah lebih menyayanginya..

Nordiana Kamaruddin, 23, yang ditemui di kediaman Allahyarham di Kampung Bayu Lalang di sini, berkata kali terakhir dia menerima khimat pesanan ringkas (SMS) daripada Allahyarham tiga hari lepas yang memintanya menjaga diri dengan baik.

Jenazah Ahmad Hurairah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lalang di sini dalam penuh istiadat ketenteraan pada 12 tengah hari.
-

ALFATIHAH: Jenazah Dua Wira Negara Selamat Disemadi

Husin Ismail, 55 (dua, kanan) menyiram air di pusara anaknya, Allahyarham Koperal Ahmad Hurairah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bayu Lalang di Pasir Mas, pada Rabu

Jenazah dua wira negara Kpl Ahmad Hurairah Ismail dan Kpl Ahmad Farhan Ruslan yang gugur dalam Operasi Daulat menentang militan dari Sulu semalam, selamat dikebumi di kampung halaman masing-masing.

Jenazah Ahmad Hurairah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lalang, tidak jauh dari rumah keluarganya di sini, manakala Ahmad Farhan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor di Kota Baharu.

Upacara pengebumian kedua-dua wira negara itu diadakan penuh istiadat ketenteraan dan turut dihadiri anggota dan pegawai tinggi tentera.

Jenazah Ahmad Hurairah dan Ahmad Farhan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dengan pesawat Charlie C-130 pada pukul 9.50 pagi, dan dibawa ke kampung halaman masing-masing dengan van jenazah.

Terdahulu jenazah kedua-dua wira negara itu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang sejurus sebelum 8 pagi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang menyambut ketibaan kedua-dua jenazah dan memberi penghormatan terakhir kepada wira negara itu.

Ahmad Hurairah, 24, terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan militan di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu di Lahad Datu, Sabah semalam manakala Ahmad Farhan, 21, terbunuh dalam kemalangan di Jalan Tungku, Lahad Datu semasa dalam konvoi untuk Operasi Daulat.

Jenazah Ahmad Hurairah tiba di rumah keluarganya di Kampung Bayu Lalang di sini untuk disembahyangkan pada pukul 11.15 pagi.

Antara yang turut sembahyang jenazah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub.

Suasana agak hiba seketika apabila Zulkifli menyerahkan sumbangan daripada pelbagai pihak kepada bapa Allahyarham, Ismail Hussin, 54, sebaik selesai majlis pengebumian itu.

Di KOTA BAHARU, jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah keluarganya di Taman Desa Darulnaim II, di Pasir Tumboh di sini dan disemadikan pada pukul 12 tengah hari.

Antara yang hadir pada pengebumian wira negara itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan pegawai-pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia.

Abdul Latiff kemudian menyerahkan bendera Malaysia yang membaluti keranda kepada bapa Allahyarham.

Ruslan ketika ditemui di tanah perkuburan itu berkata beliau amat berterima kasih di atas penghargaan pasukan tentera apabila memberi penghormatan terakhir yang begitu tinggi terhadap anaknya.

"Saya reda dengan pemergian anak saya yang memang berminat mewarisi jejak saya untuk menjadi askar sejak kecil lagi," kata bekas tentera itu yang menamatkan perkhidmatan terakhirnya di Kem Terendak, Melaka pada 2004. -BERNAMA
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...