Showing posts with label Hackers. Show all posts
Showing posts with label Hackers. Show all posts

Monday, 4 March 2013

Krisis Lahad Datu: Hackers Malaysia dan Filipina Pula Berperang


Serangan siber menular antara penggodam Malaysia dan Filipina pada hujung minggu, mencerminkan pertempuran darat di Sabah pada Jumaat dan Sabtu.
Penggodam yang didakwa daripada kumpulan penggodam Malaysia dan Filipina, Anonymous menyerang laman-laman web di kedua-dua negara.
Ia dipercayai merupakan serangan secara maya dilakukan oleh rakyat Malaysia, beberapa jam selepas insiden tembak-menembak yang berlaku antara polis dan kumpulan bersenjata Sulu pada Jumaat.
Satu mesej ditulis dalam bahasa Tagalog dipaparkan di laman Facebook milik Anonymous Malaysia pada hari berkenaan yang memberi amaran kepada Filipina bahawa mereka akan mengadakan serangan.
Blog Filipina, Pinoy Tech News yang pertama dilaporkan terdapat beberapa laman web kerajaan mereka diserang oleh perkhidmatan penafian (DoS).
Beberapa laman web lain turut terjejas.
Penggodam Filipina kemudian membalasnya, menyerang dan merosakkan beberapa laman web persendirian dan milik Kerajaan Malaysia.
Sesetengah mereka mendakwa telah menggodam laman-laman web kerajaan, dan mengumumkannya di Facebook mengenai eksploitasi mereka.
Mereka juga menggesa para pengikutnya untuk melancarkan serangan DoS terhadap laman web tempatan.
Satu kenyataan yang didakwa dilakukan oleh Anonymous menggesa penggodam dari kedua-dua negara untuk bertenang.
“Perang maya tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada kita tetapi akan memberikan tanggapan yang salah... Marilah kita membantu kedua-dua Filipina dan Malaysia supaya bersatu, tiada sebab untuk bermusuhan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amiruddin Abdul Wahab berkata, kerajaan turut menyedari perkara itu, namun beliau enggan mengulas lanjut.
MStar Online
-

Tuesday, 19 February 2013

Cari Dalang Sampai Lubang Kubur!



Satu pasukan petugas khas polis ditubuh bagi menyiasat kejadian penggodaman sistem aplikasi dalam laman web Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Ia ditubuhkan di bawah Unit Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Bukit Aman.

Pengarah JSJK Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata meskipun insiden itu yang pertama melibatkan sistem aplikasi berkenaan, tindakan dan siasatan terperinci akan dijalankan bagi memastikan ia tidak berulang.

"Kami akan siasat dan kenal pasti dalang kejadian ini dan seterusnya mengambil tindakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 5, Akta Jenayah Komputer 1997 itu melibatkan pelbagai aspek, termasuk berhubung alamat Protokol Internet (IP) yang merekodkan pengguna dari luar negara.

Pada Isnin, sistem aplikasi e-Akhbar dan e-Press milik jabatan itu digodam dengan penyiaran dua kenyataan bertajuk Memo Permohonan Rakyat Malaysia dan Perdana Menteri Secara Rasminya Meletak Jawatan.Berikutan kejadian itu, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa mengarahkan semua jabatan dan kementerian meningkatkan tahap keselamatan laman web masing-masing untuk mengelak ancaman penggodam.

Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman membuat laporan polis berhubung pencerobohan kedua-dua sistem aplikasi itu.

Beliau mengesyaki ia dilakukan untuk mencetuskan suasana tidak menentu dalam negara dan sekali gus mencemarkan imej dan nama baik jabatan itu yang berfungsi sebagai media rasmi kerajaan. -BERNAMA
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...