Showing posts with label Komando VAT 69. Show all posts
Showing posts with label Komando VAT 69. Show all posts

Tuesday, 26 March 2013

Laungan Allahuakbar Jadi Perisai _Komando VAT 69


Dalam keadaan musuh menyerang bertalu-talu dan anggota pasukan komando VAT69 ini membalas tembakan mempertahan diri dan negara, dalam insiden 1 Mac lepas, Kpl Mohamad Asrul Osman tidak sedar rakan di sebelahnya gugur dalam pertempuran selama sejam itu.

Beliau berkata laungan 'Allahhuakbar' menjadi perisai ketika diserang musuh yang jaraknya agak dekat dalam insiden pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah.

"Ketika pertempuran saya meniarap bersebelahan arwah (Sjn Sabaruddin Daud, 46)...Kami diserang bertalu-talu dan angin daripada tembakan itu memang jelas dirasai betul-betul di sebelah telinga saya.

"Saya tidak sangka tembakan itu mengenai Sabaruddin dan hanya mengetahuinya apabila saya menepuk belakang beliau untuk berundur, tetapi beliau sudah kaku ketika itu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini

Mohamad Asrul, 33, berkata beliau cedera pada cuping telinga dan kolar pakaian seragamnya koyak rabak dalam pertempuran yang turut mengorbankan ASP Zulkifli Mamat.

"Meskipun hati sebak melihat rakan gugur, ia tidak menjadi kekangan pada saya untuk meneruskan perjuangan demi membela tanah air," katanya.

Semangat juang yang ditunjukkan pasukan keselamatan negara itu berjaya membunuh 15 musuh.

Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang hingga keesokannya harinya (2 Mac) semua pegawai dan anggota diletak dalam keadaan siap siaga bagi menumpaskan pengganas. 

"Sehingga kini saya masih terbayang kejadian menimpa Allahyarham," katanya.

Beliau berkata pengalaman bertempur dengan pengganas yang merupakan pengalaman pertama baginya itu, mendidiknya menjadi lebih berani dan sanggup mempertaruh nyawa sendiri demi menjaga kedaulatan negara.

"Saya masuk Komando pada 2003, insiden pencerobohan di Lahad Datu memberi peluang kepada saya merasai sendiri apa apa yang telah orang lama ceritakan mengenai pertempuran dengan komunis dan bagaimana perasaan bertempur dalam
situasi sebenar," katanya.

Mengambil pendekatan untuk tidak merisaukan orang tersayang, Mohamad Asrul berkata beliau memberitahu ibunya bahawa beliau sedang mengikuti kursus.

"Isteri saya pula hanya dimaklumkan bahawa saya terlibat dalam pertempuran ini tetapi tidak pernah memberitahunya apa yang saya lalui termasuk kecederaan yang saya alami," katanya.- BERNAMA
-

VAT 69 Bravo Selamatkan Lebih Ramai Anggota Lain Daripada Terkorban


'Ibarat hujan peluru' itulah ungkapan angota-anggota Komando VAT69 bagi menggambarkan pertempuran dengan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 1 Mac lepas.

Insp Azwanazlee Saffiai, 33, berkata terdapat dua pasukan yang bertempur dengan kumpulan militan itu iaitu Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 Bravo dan Charlie.

Bertindak sebagai komander kumpulan bagi sektor Bravo terdiri daripada 34 anggota dan pegawai, beliau berkata pertempuran berlaku selepas pengganas cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie.

"Sewaktu cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie yang juga dianggotai 34 anggota dan pegawai, pengganas memasuki kawasan sektor Bravo dan mereka kemudian mengeluarkan arahan supaya sektor kami (Bravo) beredar meninggalkan kawasan.

"Kami (Bravo) enggan berganjak sebaliknya cuba mendapatkan arahan daripadaKomander untuk melepaskan tembakan. Pihak pengganas yang sebelum itu memberiamaran 'berambus Tiger, balik' (kepada kami) telah melepaskan tembakan keranakami tidak mahu berundur," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

"Mereka (pengganas) cuba rapat dengan kami dan mengacukan senjata sertamelepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak kira-kira 10 meter," katanya.

Pertempuran yang berterusan selama sejam itu mengorbankan dua anggota polisiaitu ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabaruddin Daud, 46. Pasukan keselamatanmenembak mati 15 musuh.

Azwanazlee berkata dalam pertempuran di kawasan kelapa sawit yang berpayaitu, beliau mendapati beberapa anggota pengganas sukar ditumpaskan walaupunditembak bertubi-tubi.

"Kami rasa mereka seolah-olah memakai ilmu kebal kerana walaupun telahditembak berkali-kali tetapi tidak jatuh. Arahan untuk menembak di bahagiankepala diterima dan ia akhirnya berjaya menumpaskan pengganas itu," katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Kpl Muhammad Imran Abd Talib, 28, yang diaturgerak dalam satu lagi pasukan iaitu sektor Alpha di Kampung Tanduo, berkatabeliau dapat menumpaskan pengganas dalam jarak yang paling dekat iaitu kira-kiradua meter.EMPUR 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

"Saya masuk kampung Tanduo pada 28 Feb dan pada pagi 1 Mac saya dan rakan lain diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ketika itu kami sedang menyediakan makanan sebelum mendengar bunyi tembakan di kawasan sektor Bravo," kata anakbekas komando itu.

Beliau berkata pokok kelapa sawit menjadi tempat perlindungan daripada serangan pengganas.

"Bertempur dalam hutan tidak sama dengan bertempur di kawasan ladang kelapasawit dengan binaan rumah yang tidak banyak. Pemandangan menjadi lebih luas dania mudah untuk dilihat musuh, itu antara cabaran yang harus ditempuhi ketikaitu.

"Selepas bertempur saya lihat tempat perlindungan saya dipenuhi kesantembakan. Saya bersyukur kerana peluru yang datang seperti hujan itu tidakmengenai saya," katanya.

Muhammad Imran yang terpaksa menangguhkan pertunangannya, berkata beliaubangga kerana dapat menyumbang kudrat demi mempertahankan negara.-BERNAMA
-

Thursday, 21 March 2013

Kisah Komando VAT 69 : Walau Di Hujani Peluru Kami Teruskan Bertempur


"Walaupun dihujani dengan beribu-ribu butir peluru dan nyawa kami terancam ketika itu, namun demi tugas dan kedaulatan negara kami teruskan bertempur."

Demikian diungkapkan Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zolkifli, 22, anggota komando VAT 69 yang cedera ketika pertempuran menentang pengganas Sulu di Ladang Tandou, Lahad Datu, Sabah pada 1 Mac lepas.

"Pada saya nyawa tidak penting, yang penting bagi kami pengganas Sulu yang menceroboh negara kita dihapuskan," katanya lagi.

Mohammad Qaiyum Aiqal yang ditemui di majlis menyambut kepulangannya di rumah keluarganya di Kampung Bukit Kelicap, Senggarang ternyata masih trauma dan sebak apabila diminta menceritakan kembali detik peristiwa berdarah itu yang turut mengorbankan dua rakan sepasukannya.

Beliau tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir apabila mengenang dua rakan sepasukannya yang terkorban dalam pertempuran itu.

Mengimbas kembali kejadian, anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata beliau terjatuh sebaik terkena tembakan di bahu kanan.

"Walaupun telah cedera dan terjatuh, pihak musuh masih tetap menembak ke arah saya termasuk menggunakan senjata berat. Nasib baik ketika itu, seorang rakan iaitu Koperal Hairi menarik saya ke belakang sebatang pokok kelapa sawit untuk berlindung," katanya.

Ketika itu beliau hanya berserah kepada Allah SWT dan reda jika umurnya tidak panjang, namun beliau bersyukur kerana Tuhan masih mengizinkannya untuk terus hidup.

Ekoran tembakan peluru musuh yang menembusi dadanya, tiga tulang bahunya patah dan beliau dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan kemudiannya Hospital Sandakan sebelum dibawa ke Hospital Tentera di Lumut, Perak, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ditanya sama beliau serik dengan kejadian itu, dengan penuh bersemangat Mohammad Qaiyyum Aiqal berkata perkataan serik dan putus asa tidak ada dalam dirinya.

"Selagi saya bernyawa dan selagi saya boleh melangkah, saya akan terus mempertahankan kedaulatan negara.

"Apabila saya sembuh dan jika diizinkan saya akan kembali ke Lahad Datu demi memastikan keamanan negara pulih seperti sediakala," katanya.

Dalam kejadian pada 1 Mac lepas, dua anggota komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban, manakala 12 penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina maut dalam kejadian tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo.

Dua anggota komando VAT 69 yang terbunuh dalam pertempuran itu ialah ASP Zulkifli Mamat dari Besut, Terengganu dan Sarjan Sabaruddin Daud dari Sabak Bernam, Selangor.

Selain Mohammad Qaiyum Aiqal, dua lagi anggota yang cedera ialah Koperal Azman Ampong dan Koperal Mohd Tarmizi Hashim.

Sementara itu lebih 500 penduduk Kampung Kelicap dan kawasan sekitar berkumpul di rumah Mohammad Qaiyum Aiqal sejak pukul 2 petang sebaik mengetahui beliau akan pulang ke rumah.

Mereka sabar menanti sehingga pukul 6.30 petang dan ramai di kalangan penduduk kelihatan mengalirkan air mata apabila melihat kecederaan yang dialaminya.

Turut menyambut wira negara itu ialah Anggota Parlimen Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi dan Anggota Parlimen Parit Sulong Datuk Noraini Ahmad yang menyampaikan sumbangan kepada beliau. BERNAMA
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...