Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi menghadiri sembang mesra belia bersama Perdana Menteri yang diadakan sempena Karnival Astro Fiesta Mesra Belia 1Malaysia di Ampang, dekat sini.
Ketibaan Perdana Menteri pada pukul 9.50 malam disambut dengan tepukan gemuruh daripada ribuan hadirin yang menunggu sejak pukul 7 malam.
Najib kemudian bersama-sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan anggota Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat menyertai ribuan pengunjung menyaksikan persembahan beberapa artis terkemuka antaranya Black, Datuk Hattan, Jay Jay dan Awie.
Perdana menteri kemudiannya menyertai barisan artis di atas pentas menyanyikan beberapa buah lagu termasuk 1M4U dan Terima Kasih Sayang yang dipopularkan oleh Awie.
Najib dalam ucapan ringkasnya melahirkan rasa terharu dengan semangat cintakan negara yang ditunjukkan para pengunjung terutama apabila lagu berunsur patriotik didendangkan.
Menganggap konsert itu sebagai mendapat sambutan luar biasa, perdana menteri berkata lebih banyak penganjuran serupa akan dibuat pada masa akan datang.
"Saya berasa amat terharu kerana malam ini memperlihatkan betapa tingginya semangat setia dan perasaan cinta kepada negara Malaysia kita,” katanya.
Najib turut melahirkan rasa terharu dan terima kasih dengan pembuatan kain rentang yang tertera I Love PM.
"Terima kasih kerana buat banner I Love PM,” katanya.
Karnival tiga hari yang bermula sejak Jumaat lepas itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan dan Astro dihadiri lebih 20,000 pengunjung yang antara lain bertujuan mendekatkan masyarakat terutama golongan belia dengan pemimpin tanpa mengira latar belakang umur atau kaum.
— BERNAMA
No comments:
Post a Comment