Wednesday, 27 March 2013

Kisah Malam Yang Panjang Di Kampung Simunul Lahad Datu


Inspektor Mohd Hasnal Jamil adalah saksi hidup tentang kekejaman pengganas Kiram yang berlaku di Kampung Sri Jaya, atau dikenali juga kampung Simunal Semporna Sabah pada malam Sabtu 2 Mac baru-baru ini.
Simunal adalah nama pulau di Tawi-Tawi, Selatan Filipina, tempat asal rata-rata orang Sulu yang berhijrah ke Sabah atau dalam kata lain, padang permainan mereka.
Enam anggota polis berbagai pangkat terkorban dalam serang hendap tersebut dan Inspektor Hasnal sendiri cedera dengan tiga tembakan; satu diperut, dua di tangan, bersama-sama enam tetakan, tiga di kepala dan tiga  ditangan kanannya.
Hari ini, genap 25 hari selepas kejadian tersebut, kali pertama Inspektor Hasnal bertemu media, dalam satu majlis bertempat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaa (KPDNKK) Putrajaya.

Majlis pada asalnya hanya sekadar penyerahan sumbangan kepada balu, ahli keluarga serta anggota yang cedera sahaja.
Wartawan yang menunggu telah dimaklumkan tidak ada temubual tapi selepas dipujuk-pujuk, dengan mendapat kelulusan pegawai atasannya, Inspektor Hasnal bersedia untuk menceritakan pengalamannya kepada wakil media.

Dengan tangan yang masih berbalut, jari kanan yang tidak berfungsi, anggota polis cawangan khas Bukit Aman berusia 31 tahun ini, bercerita satu persatu pengalamannya terkepung antara jam 7.30 malam 2 Mac sehingga diselamatkan jam 5.30 petang 3 Mac lalu.
Menurutnya, kisah serang hendap yang menggemparkan negara itu bermula selepas mereka memperolehi maklumat mengenai kehadiran kumpulan bersenjata di Kampung Simunal itu.
Dalam keadaan perang, dan orang ramai panik, ada berbagai pihak menyalurkan maklumat, dan polis, mahu tidak mahu adalah tanggungjawab polis menyiasat setiap maklumat yang disalurkan.
Mereka berkerja tanpa mengira masa untuk tujuan tersebut, jika maklumat disampaikan pagi, pagilah mereka pergi menyiasat, jika malam, malamlah.
Ini situasi perang, dan khabar angin bertebaran tanpa henti di media-media sosial.
Malam itu, kira-kira 50 orang anggota polis berbagai unit termasuk satu platun Pasukan Gerakan Am (PGA) mula memasuki perkampungan atas air tersebut untuk memeriksa kesahihan maklumat yang disalurkan sebelumnya.
Inspektor Hasnal antara yang berada dalam kumpulan paling hadapan, mereka bergerak melalui jambatan sempit, dari satu jambatan ke satu jambatan sehingga ke jambatan nombor lima, di sebuah rumah, tiba-tiba tembakan dilepaskan tanpa henti.
"Tembakan dilepaskan dari dalam rumah, saya terkena peluru di perut, dan tangan. Sebelum ditetak di kepala tiga kali, saya lawan balik, dan ditetak di tangan pula," katanya.
Pengganas yang berusia 20-an itu dipercayai mahu memenggal kepalanya selepas melihat beliau sudah kena tembakan.
Mujurlah beliau mampu bertindak balas dan melawan termasuk menghalang tetakan barong (sejenis senjata asal Sulu) dengan tangan kanannya, sebelum berundur ke sebuah rumah lain tidak jauh dari tempat kejadian.
Dengan tangan kanannya terkulai dan hampir putus, dalam keadaan berbalas tembakan tersebut, kata Inspektor Hasnal beliau berundur mencari perlindungan.
"Kami berlindung dalam rumah yang sempit, sembilan orang. Dua yang menjaga saya dan jenazah rakan kami, manakala selebihnya berada dalam keadaan 'siap tempur' berkubu di sekeliling rumah,"ujar beliau.
Jelasnya, lima belas minit pertama, keadaannya seperti tembak menembak dalam filem, tidak henti-henti, hanya percikan cahaya dari senjata musuh yang kelihatan dan peluru melayang di mana-mana.
"Semua tunduk, jika berdiri mesti kena peluru, sebab rumah itu dindingnya papan yang nipis dan tembus peluru," kata beliau.
Terlentang dalam keadaan telinganya sudah dimasuki darah dari tetakan di kepala tadi, perut yang ditembusi peluru dan tangan kanan yang terkulai, tangan kiri yang ditembak, ditambah dengan bunyi tembakan tidak henti-henti, kata Inspektor Hasnal, beliau pekak sekejap, malam itu.

"Saya cuba berdiri tapi rasa nak pitam, ketika itu saya fikir akan mati sahaja, di dalam hati saya berdoa tidak putus-putus," ujarnya.

Baca lagi DISINI


1 comment:

  1. Elok panggil Tian Chua si haram jadah tu berdepan dengan Inspektor Hasnal. Kenapa sandiwara ini tak ikut skrip. guna peluru betul dan tetak betul-betul sampai ada yang terkorban?

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...