Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menyambut baik langkah menempatkan wakil Jawatankuasa Dispilin di bahagian-bahagian Umno bagi mengekang perbuatan khianat dan sabotaj dalam parti.
Beliau berkata penubuhan jawatankuasa khas itu menunjukkan keseriusan Umno untuk mengatasi masalah tersebut ke peringkat akar umbi sebelum menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Tidak semua tempat (bahagian) berlaku perkara ini, hanya ada segelintir anggota (Umno) yang sanggup melakukannya...tindakan menempatkan wakil jawatankuasa itu merupakan langkah terbaik bagi mengelak parti disabotaj.
Pelaksanaan itu diambil berdasarkan pengalaman terdahulu yang mana ada anggota yang tidak dipilih sebagai calon merasa kecewa dan tidak memangkah parti sehingga menyebabkan kekalahan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program mesra rakyat di sekitar Parlimen Kuala Selangor di sini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju untuk melantik seorang wakil Jawatankuasa Dispilin di bahagian-bahagian Umno.
Najib membuat kenyataan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata anggota Umno tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan jawatankuasa itu kerana ia bertujuan menjaga kebajikan parti.
"Mereka yang bimbang terhadap pelaksanaan itu hanyalah anggota yang buat kerja tidak baik," katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata kementeriannya menyokong hasrat kerajaan untuk menambah jumlah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi menjaga kebajikan masyarakat terutamanya golongan di pedalaman yang hidup serba kekurangan. "Bagi pihak kementerian serta kabinet, kami juga ada berbincang dan bercadang untuk menambah jumlah ini daripada RM500 kepada RM1000, namun perkara itu tertakluk kepada kemampuan kerajaan. "Sekiranya ada kemampuan, tahun depan kita tambah lagi," katanya.
Terdahulu, Mohd Shafie beramah mesra dan bersarapan bersama penduduk setempat di Sekolah Menengah Puncak Alam sebelum melakukan lawatan ke beberapa rumah penduduk bagi menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan keperluan harian. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment