Friday 15 February 2013

PKR & DAP Bertelagah Rebut Kerusi Parlimen Gelang Patah


DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat terus bertelagah tentang parti mana yang lebih layak meletakkan calon di kerusi Parlimen Gelang Patah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

PKR Johor yang bertanding di kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 dan 2004, berkeras mahukan calonnya terus bertanding di kerusi Parlimen itu, tetapi pendirian mereka dibantah oleh DAP.

DAP mahukan di bawah sistem giliran, parti itu diberikan peluang untuk bertanding di Parlimen Gelang Patah pada PRU-13, selepas giliran itu diberikan pada PKR pada dua edisi pilihan raya umum sebelum ini.

Menurut Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, keputusan akhir tentang parti mana yang berhak bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah akan ditentukan pucuk pimpinan pakatan pembangkang.

Ditanya tentang kenyataan pemimpin tertinggi DAP bahawa anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong akan diletakkan sebagai calon Parlimen Gelang Patah pada PRU-13, Dr Boo yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai enggan mengulas mengenainya. Bagaimanapun komennya menerusi laman Twitter baru-baru ini mengatakan Liewsebagai anggota pembuat dasar yang muda dan bertenaga perlu diberikan peluang untuk bertanding di Gelang Patah.

Pencalonan Liew sebagai calon DAP di Gelang Patah diumumkan Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai baru-baru ini.

Dr Boo berkata kerusi Parlimen Gelang Patah itu secara tradisinya adalah milik DAP, tetapi dilepaskan kepada Parti Rakyat Malaysia sebelum ia bergabung dengan PKR di bawah sistem penggiliran.

"Kita hanya melepaskan kerusi (Gelang Patah) itu pada 1995 kerana menghormati bekas Ketua Parti Rakyat Malaysia Johor dan bekas ketua PKR Johor (allahyarham) Abdul Razak Ahmad," katanya kepada Bernama Khamis.

Kerusi Parlimen Gelang Patah itu dikembalikan semula pada DAP pada pilihanraya umum 1999, bagaimanapun di bawah sistem penggiliran, PKR diberikan kepercayaan untuk menandinginya pada pilihan raya umum 2004 dan 2008. Pada pilihan raya umum 2008, calon BN Tan Ah Heng mengalahkan calon PKR, Dr Zaliha Mustafa dengan kelebihan 8,851 undi.

Parlimen Gelang Patah mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri, Skudai dan Nusajaya.

Sementara itu Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng mengambil sikap berdiam diri ketika dihubungi tentang keputusan DAP untuk meletakkan Liew sebagai calon di Gelang Patah.

"Biarkan mereka (DAP). Mereka boleh bercakap apa sahaja, inikan negarademokrasi.

"Perkara itu (isu kerusi Parlimen Gelang Patah) akan ditentukan oleh pucuk pimpinan pakatan rakyat," katanya.

Timbalan Setiausaha Agung PKR Steven Choong yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR negeri juga enggan memberi reaksi balas terhadap pengumuman DAP tentang pencalonan Liew itu.

Setakat ini katanya, pucuk pimpinan pakatan pembangkang masih belum membuat keputusan tentang parti mana yang berhak meletakkan calonnya di Parlimen Gelang Patah.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...