Saturday, 16 February 2013

Elak Masjid Disalah Guna Menjelang PRU-13



Umat Islam di negara ini terutama pegawai masjid diminta sentiasa memastikan masjid tidak disalahgunakan untuk ceramah atau khutbah berunsur politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, imam masjid dan guru agama harus menjaga etika yang ditetapkan majlis agama negeri selain perlu menjaga pengisian khutbah agar tidak menyebut atau menyakitkan hati mana-mana pihak.

Katanya, tindakan menyalahgunakan masjid boleh mengurangkan jemaah ke masjid selain berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam.

"Imam-imam, saya pesan supaya dalam khutbah itu biarlah khutbah yang membangunkan masyarakat, yang mengajar. Tidak menyakitkan satu puak. Kita nak masjid ataupun mimbar khutbah ataupun sidang Jumaat itu mempunyai satu semangat yang sentiasa positif terhadap masjid masing-masing," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan guru-guru agama, takmir dan penyelaras masjid negeri di sini, Jumaat.

Beliau berkata, mimbar masjid atau sidang Jumaat perlu sentiasa menanamkan semangat positif terhadap masjid dan bukannya perpecahan berikutan tidak menyukai golongan tertentu.

"Ada yang tidak mahu ke masjid itu sebab tak suka kepada individu yang menjadi khatib atau tak suka bahasa yang digunakan. Akhirnya kita tidak menampakkan keindahan Islam, kita semakin kurangkan jemaah dan kita semakin melabelkan pelbagai orang dengan kelompok yang menyakitkan, bukan label menyenangkan akhirnya kita dilihat sebagai umat yang berpecah hatta dalam masjid sendiri," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, guru agama tidak seharusnya terikat dengan hanya mengajar subjek agama semata-mata, sebaliknya mereka perlu meningkatkan dakwah dalam membantu usaha kerajaan mengekang keruntuhan akhlak dalam kalangan umat Islam masa kini.

"Dunia tanpa sempadan kini banyak disalahgunakan anak muda sehingga merekamudah terjebak dengan budaya barat seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Harus ada satu semangat dan kekuatan yang kita gemblengkan untuk pertingkatkan usaha dakwah kerana hari ini, LGBT semakin berkembang dalam masyarakat, contohnya semalam Perancis sudah luluskan undang-undang perkahwinan sesama jenis," katanya.

Beliau berkata, kerajaan bimbang gejala ini menular dalam masyarakat negara ini memandangkan generasi muda kini semakin terdedah dalam dunia tanpa sempadan dan media baru.

"Anak-anak kita yang belajar di luar negara perlu kita kebalkan dengan kekuatan ilmu dan iman agar tidak mudah terjebak dengan gejala ini ketika berada di sana," katanya.

Jamil Khir berkata, bimbingan dan kaunseling dilakukan melalui kelab-kelabtertentu, Jabatan Penuntut Malaysia dan guru-guru agama Jabatan Kemajuan IslamMalaysia yang bertugas di luar negara seperti Mesir dan Indonesia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...