Showing posts with label Pangkalan Gas In Amenas Algeria. Show all posts
Showing posts with label Pangkalan Gas In Amenas Algeria. Show all posts

Tuesday, 29 January 2013

Mayat dua rakyat Malaysia yang terkorban tiba Ditanahair



Mayat dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam krisis tebusan kumpulan militan di Algeria selamat tiba di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini jam 8.30 malam Isnin.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata mayat mendiang Chong Chung Ngen dan Tan Ping Wee telah diterbangkan dari Algiers setelah diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di sana bersama dengan syarikat JGC Construction Pte. Ltd.

"Mayat berkenaan diiringi oleh Patrick Purait Awang, salah seorang rakyat Malaysia yang terselamat semasa insiden tebusan tersebut," kata Anifah.

Beliau berkata Timbalan Menteri Luar Senator A.Kohilan Pillay dan beberapa pegawai kanan dari Wisma Putra serta ahli keluarga mendiang turut hadir untuk menerima mayat tersebut.

Beliau berkata keluarga berkenaan meminta agar privasi mereka dihormati bagi mereka menghadapi detik sukar ini.

"Dalam hubungan ini, kerajaan Malaysia sekali lagi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga berkenaan atas kehilangan orang yang disayangi," katanya.

Mendiang Tan berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan dilaporkan bekerja di Algeria sejak enam bulan lalu manakala mendiang Chong yang berasal dari Ipoh, Perak merupakan seorang inspektor kawalan kualiti dan baru tiga bulan bertugas di sana.

Dalam insiden 16 Jan lalu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria menjadi tebusan kumpulan militan.

Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan tentera Perancis menggunakan ruang udaranya untuk melancarkan serangan ke atas pemberontak Islam di Mali.

Tan dan Chong disahkan terbunuh dalam kejadian itu, manakala tigalagi rakyat Malaysia - K.Ravi, Lau Seek Chiang dan Patrick terselamat.

Lau dan Ravi pulang ke pangkuan keluarga masing-masing Rabu lalu. - BERNAMA
-

Friday, 18 January 2013

Wisma Putra Sahkan Dua Rakyat Malaysia Antara Tebusan Di Algeria



Bila teman terbaca berita mengenai rakyat Malaysia disahkan antara tebusan yang ditawan di Pangkalan Gas di Algeria, terasa amat simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat. Walupun masih dirahsiakan, namun kebimbangan keluarga mangsa dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Teman yakin Wisma Putra sedang berusaha bersungguh-sungguh dan mencari jalan penyelesaian yang sebaik mungkin. marilah kita sama-sama berdoakan keselamatan mangsa tebusan tersebut.

PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan dua rakyat Malaysia merupakan antara tebusan yang ditawan di pangkalan gas In Amenas di Algeria.

Menurut kenyataan Wisma Putra pada Khamis, ia dimaklumkan bahawa kedua-dua rakyat tempatan itu merupakan pekerja di pangkalan gas itu pabila mereka ditawan oleh pengganas dalam satu serangan pada Rabu.

Kementerian telah menghubungi ahli keluarga rakyat Malaysia terbabit dan sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Algeria.

Menurut laporan awal daripada agensi berita AFP bahawa rakyat Malaysia dan Filipina merupakan antara tebusan yang kini menjadi tahanan di pangkalan gas di Algeria, di mana maklumat itu diperoleh daripada laporan saluran berita Perancis, France 24 pada Rabu, berdasarkan apa yang dilaporkan mengenai perbualan telefon dengan seorang lelaki warga Perancis.

Stesen itu, hanya menyiarkan sedutan perbualan mereka yang amat singkat yang dirakam dengan tebusan Perancis, berkata bahawa lelaki itu telah memberitahu mereka bahawa dia bersama-sama dengan rakyat Inggeris, Jepun, Filipina dan Malaysia.

Agensi berita France 24 itu bagaimanapun menyebut, tiada cara untuk mengetahui sekiranya tebusan telah bercakap di bawah kekangan pihak yang menahan mereka.

Menurut stesen itu, warga Perancis berkenaan memberitahu bahawa tebusan ditahan dalam sebuah bangunan yang tertutup di pangkalan gas di selatan Algeria dan mereka yang menjadi tebusan mempunyai tali pinggang berisi bahan letupan yang dipakaikan kepada mereka sebagai halangan terhadap serangan mana-mana pasukan keselamatan.

Perancis tidak mengesahkan bahawa salah satu daripada rakyatnya merupakan di kalangan tebusan berkenaan.

Satu kumpulan militan memberitahu media Mauritania bahawa mereka menawan 41 warga negara Barat, antara mereka adalah rakyat Perancis, British dan Jepun, juga tujuh rakyat Amerika Syarikat (AS), di pangkalan gas, In Amenas, yang dikendalikan bersama oleh syarikat minyak British, BP dan syarikat Norway, Statoil dan syarikat bekalan kuasa Algeria, Sonatrach.

Pihak berkuasa Algeria berkata, seorang rakyat Algeria dan warga British telah terbunuh dalam serangan itu.

Beberapa sumber sebelum ini merujuk tebusan-tebusan tersebut antara lain adalah terdiri daripada beberapa rakyat AS dan Britain, seorang warga Perancis, seorang warga Ireland, serta beberapa rakyat Jepun dan Norway.

Satu kumpulan militan, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman web Mauritania iaitu Alakhbar sebagai berkata, penculikan itu merupakan pembalasan ke atas campur tangan tentera Perancis terhadap puak bersenjata yang merampas kawalan di utara Mali. (mStar Online)
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...