Showing posts with label Sulu. Show all posts
Showing posts with label Sulu. Show all posts

Tuesday, 26 March 2013

TERKINI LAHAD DATU! Amirbahar Guna Pas Pelancong Jumpa Siapa?


Jeneral lima bintang pengganas Sulu, Datu Amirbahar Hushin Kiram yang berjaya ditahan pihak berkuasa pada pagi Sabtu lalu didapati menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke Kampung Tanduo sejak November lalu.

Satu sumber berkata, siasatan juga mendapati pas lawatan yang digunakan Amirbahar yang difahamkan juga merupakan Menteri Pertahanan Suluk itu pula didapati telah tamat tempoh.

“Beberapa dokumen milik Amirbahar dirampas pasukan keselamatan termasuk pasport miliknya. Pemeriksaan mendapati, lelaki itu masuk ke Kampung Tanduo menggunakan pas pelancong sejak November lalu.

“Pasport tersebut telah tamat tempoh Januari lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut sumber itu, Amirbahar ditahan bersama isterinya pada hari Sabtu lalu dekat kawasan Paya Bakau, Kampung Sri Melor Bugaya di sini ketika cuba menyelinap untuk lari pulang ke Filipina.

Kosmo
-

Sunday, 24 March 2013

Masyarakat Suluk Di Sabah Tak Perlu Takut


Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata masyarakat Suluk tempatan, yang merupakan warganegara Malaysia, tidak perlu takut kerana pihak berkuasa mempertingkat operasi keselamatan di Sabah.

"Adalah tidak wajar untuk menyalahkan masyarakat Suluk tempatan di negeri ini dalam insiden pencerobohan Lahad Datu kerana tindakan itu dilakukan pengikut (Jamalul) Kiram," katanya ketika melancarkan Yayasan Sabah dan Roadshow Rakyat di Pusat Komuniti Tun Mustapha di sini, Sabtu.

Beliau berkata kebanyakan penduduk Sabah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kaum Suluk.

"Saya tidak fikir ada masalah (tetapi) kita akan mempertahan Sabah hingga ke akhirnya daripada orang luar yang cuba menceroboh negeri ini. Kami bersetuju dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bahawa Malaysia tidak akan menyerah walau seinci pun negeri Sabah... Sabah milik rakyat Sabah," katanya.

Musa, yang juga pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, berkata atas alasan inilah Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) diwujudkan.

Ketua Menteri juga mendedahkan sebuah balai polis akan segera dibina di Pulau Banggi yang terletak berhampiran sempadan maritim antarabangsa di utara perairan Sabah.

Beliau kemudian menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah RM35,000 untuk Tabung Perwira Lahad Datu daripada wakil yang dilantik dan individu.

Terdahulu, Musa berhenti sejenak ketika berucap untuk menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah kepada anggota keselamatan yang terbunuh di Lahad Datu.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana mempertingkat kehadiran pasukan keselamatan bagi memastikan Malaysia, khususnya Sabah, adalah selamat.

"Kita mesti menaruh sepenuh kepercayaan kepada pasukan keselamatan kita," katanya.-BERNAMA
-

Sunday, 17 March 2013

EKSKLUSIF: Tok ‘Pawang’ Pengganas Militan Sulu Berjaya Ditembak Mati!


KEPERCAYAAN pada amalan mistik dan karut-marut di kalangan pengganas militan Sulu bukan satu rahsia lagi.

Ini dibuktikan dengan kejayaan pihak keselamatan merampas pelbagai tangkal dan azimat daripada pengganas yang berjaya ditembak mati.

Menurut sumber, di antara 61 orang pengganas yang berjaya dibunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara, salah seorang daripadanya dikenal pasti individu yang cukup ‘dihormati’ di kalangan pengganas kerana ‘kemampuannya’ dalam perkara berkaitan.

Dikenali sebagai Pawang, lelaki tua itu dikatakan agak lemah dari sudut fizikal tetapi kemampuannya dalam ilmu kebal membuatkan kelibatnya cukup dihormati di kalangan pengganas yang terlibat dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu ini.

Malah disebabkan ‘kelebihannya’ itu jugalah, Mynewshub.my difahamkan yang Pawang dikatakan antara mereka yang terlibat dalam rundingan awal dengan pihak keselamatan ketika mereka mula-mula mendarat di Lahad Datu ini.

Namun ternyata Pawang juga manusia biasa, dia akhirnya terbunuh dalam salah satu siri pertempuran dengan pihak polis dan tentera kita.

Difahamkan, mayatnya ditemui diselimuti karpet sewaktu operasi penggeledahan dibuat.

Sementara itu menurut sumber pertahanan, tiada individu tertentu yang ditetapkan untuk menjadi ‘sasaran’ dalam setiap operasi yang dilancarkan.

” Dalam setiap operasi yang kita lancarkan, semuanya dianggap petualang dan musuh yang perlu ditangkap atau dihapuskan demi menjaga kedaulatan negara.

” Yang mati mungkin seorang komander, seorang bomoh, seorang pengikut atau sesiapa saja…maknanya di sini, selagi dia enggan menyerah diri dan berterusan untuk melanggar undang-undang, dia terpaksa menerima akibatnya!,” katanya. - Mynewshub.my

-

Op Daulat : Ahli 'Mesyuarat Tingkap' Jadi Mata, Telinga Polis


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan satu unit khas dikenali sebagai Amanita dalam usaha mendapatkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang tidak dilapor di kalangan masyarakat.

Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM Datuk Ayub Yaakob berkata unit itu mengiktiraf golongan suri rumah kadangkala mempunyai maklumat penting yang diperkatakan menerusi 'mesyuarat tingkap' mereka.

"Pendekatan kita kini adalah untuk memperoleh maklumat berkaitan jenayah yang tidak dilaporkan, sebagai suri rumah, mereka mengetahui banyak isu dan maklumat dikongsi sesama mereka melalui 'mesyuarat tingkap'.

"Kadangkala ada maklumat jenayah yang mereka tahu daripada mulut ke mulut tetapi tidak dilaporkan atas sebab-sebab tertentu," katanya pada sidang akhbar selepas Program Bersama Banteras Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin merangkap Pengerusi MCPF, Sabtu.

Turut hadir Naib Pengerusi MCPF Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Ayub berkata Amanita akan dilancar tidak lama lagi dan untuk tujuan itu, seramai 152 pegawai wanita dikenal pasti untuk penglibatan dalam unit berkenaan.

Secara tidak langsung, beliau berkata langkah terbaharu yang dilakukan itu menunjukkan PDRM mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai sektor di negara ini, termasuk suri rumah yang membentuk modal insan di peringkat awal.

"Selama ini kita lihat wanita memainkan peranan penting dalam rumah tangga termasuk menjadi penasihat kepada suami sebelum mereka membuat keputusan.

"Kita yakin mereka juga dapat memainkan peranan dalam menjaga ketenteraman dan keamanan negara," katanya. BERNAMA
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...