Showing posts with label Johan. Show all posts
Showing posts with label Johan. Show all posts

Saturday, 19 January 2013

Johan & Zizan Juara Maharaja Lawak Mega 2012



Selepas sembilan minggu bertanding, gelaran juara Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012) menjadi milik kumpulan Jozan yang dianggotai Johan dan Zizan apabila mereka diumumkan juara dalam acara yang berlangsung di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB), di sini malam Jumaat.

Kemenangan Jozan melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500,000 dan trofi sumbangan Astro.

Dalam pada itu, Johan yang sebelum ini tidak dapat menyertai pertandingan berkenaan sejak dua minggu lalu akibat kecederaan ligamen membuat kejutan apabila muncul pada persembahan pusingan pertama.
Kemunculan Johan telah menggamatkan stadium yang dihadiri oleh hampir 5,000 penonton.

Gelaran naib juara pula dimenangi oleh kumpulan Jambu yang disertai oleh Yus dan Tauke. Mereka berkongsi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000 berserta sebuah trofi.

Sementara itu kumpulan Shiro (Shahrol & Ajak) mendapat tempat ketiga dan mereka menerima hadiah berupa wang tunai RM150,000 berserta sebuah trofi.

Bagaimanapun Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik & Nabil) yang pernah bergelar naib juara MLM 2011 sebelum ini terpaksa akur dengan kedudukan di tangga keempat.

Mereka mendapat wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Manakala kumpulan tunggal dari Indonesia iaitu Saywho (Eko, Bocil & Vicha) berada di tempat kelima. Mereka mendapat hadiah iaitu wang tunai RM15,000 berserta trofi.

Kesemua peserta peringkat akhir dikehendaki membuat dua persembahan bertemakan konsep bebas dan komedi muzikal.

Para peserta telah diadili dengan sistem pemarkahan yang masing-masing mewakili 70 peratus daripada juri tetap dan selebihnya undian penonton di rumah.

Empat juri tetap yang mengadili peserta pada MLM2012 akhir itu terdiri daripada Awie, Wulan Guritno, Najib Ali dan Lisa Surihani.

Ia dihoskan oleh Datuk AC Mizal.

Sementara itu mengulas kemenangan mereka, Jozan berkata, ia adalah rezeki buat mereka berdua dan tidak pernah meletakkan harapan untuk menang.

Bagaimanapun ia adakan berkat sokongan para peminat yang sentiasa menjadi pendorong untuk mereka memberikan persembahan mantap pada setiap minggu.

"Tanpa peminat yang tidak jemu memberikan sokongan kejayaan ini tidak akan bererti dan kemenangan ini adalah untuk mereka semua," jelasnya ketika ditemui selepas acara itu.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh bersama Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani dan Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai.

Pertandingan Maharaja Lawak Mega 2012 bersiaran secara langsung menerusi saluran Mustika HD (134) dan Astro Warna (132).



-

Friday, 18 January 2013

Johan Bakal Muncul Dalam MLM2012 Malam Ini



Aksi komedi solo Zizan daripada kumpulan Jozan yang tidak konsisten pada Maharaja Lawak Mega (MLM) 2012 sejak dua minggu lalu bakal terubat apabila pasangannya Johan dijangka membuat kemunculan mengejut pada pentas akhir, malam Jumaat (malam ini).

Pengurus Zizan Razak, Marina Juki berkata, pihaknya berharap pasangan Zizan iaitu Johan akan muncul pada malam Jumaat seperti yang diluahkannya ketika dihubungi pihaknya pada Khamis.

“Ketika Zizan menghubungi Johan semalam (Khamis), dia memang teringin untuk beraksi pada malam ini. Kami masih belum dapat sahkan sama ada Johan benar-benar akan muncul atau tidak.

“Kalau diikutkan doktor tidak benarkan dia berjalan jauh kerana keadaan kesihatannya tetapi Johan mahu beraksi pada pentas akhir,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Prestasi komedi Zizan didakwa merosot sejak ketiadaan Johan dua minggu lalu kerana kecederaan ligamen sehingga memaksa dia menjalani pembedahan pada bahagian lutut pada 26 Disember lalu.

Pentas akhir MLM 2012 akan diadakan di Stadium Tertutup Johor Bahru, Johor dan bersiaran secara langsung pada pukul 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Mustika HD (saluran 134).

Marina berkata, sebagai persediaan, Zizan sudah menyediakan dua set komedi iaitu untuk aksi solo dan berkumpulan jika Johan muncul secara mengejut pada saat-saat akhir.

“Sebelum ini, Zizan memang susah hati dan bimbang untuk beraksi sebab tiada Johan.

“Mereka berbual dalam telefon dan Johan ada memberikan idea dan kata-kata semangat.

“Zizan sudah siapkan pilihan komedi A dan B untuk aksi solo dan berkumpulan,” katanya.

Tambahnya, kemunculan Johan pada saat-saat akhir adalah tidak mustahil dan tidak menjejaskan persiapan kerana keserasian mereka mampu menghasilkan komedi spontan.

“Kalau betul Johan akan muncul seperti yang dikatakan, ia tidak mustahil kerana mereka boleh hasilkan komedi secara spontan.

“Sama ada benar atau tidak Johan akan muncul, ia belum dapat disahkan lagi kerana saya masih menunggu jawapan daripada pihak Johan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan sejauh mana kesahihan kononnya Johan bakal muncul bersama Zizan pada pertandingan akhir, malam ini.

“Kami tidak pasti sama ada dia (Johan) akan beraksi malam ini atau tidak. Ia mungkin juga strategi mereka, kita tidak tahu.

"Apa pun, kami tidak mahu bertanyakan kepada Johan kerana mahukan kejutan pada malam nanti,” katanya.

Sementara itu sumber memberi tahu Johan sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran pihak hospital bagi membenarkan beliau menyertai pentas akhir MLM2012 malam Jumaat.

Jozan merupakan naib juara Maharaja Lawak (ML) pada 2011.

Sumber
-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...