Pages

Saturday, 2 March 2013

WIRAWAN ASP ZULKIFLI MAMAT KEBANGGAAN DAN SIMBOL PATRIOTISME ANAK MUDA


Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa golongan belia negara ini supaya mencontohi keberanian dan semangat patriotisme dua anggota polis pasukan gerakan khas 69 Komando yang terkorban dalam pertempuran dengan sekumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah semalam.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kedua-dua anggota polis tersebut adalah wira negara yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawa mereka bagi mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Malaysia.

“Semangat patriotisme, berani  dan sedia berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir perlu dicontohi oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya dalam kalangan belia negara.

“Pengorbanan mereka seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada belia hari ini dan beliau seorang wira belia dan wira negara,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu Ahmad Shabery meminta belia Malaysia tidak terpengaruh dengan anasir dan perbuatan yang sia-sia dan yang hanya akan menghancurkan masa hadapan diri, bangsa negara dan agama.

Dalam pada itu beliau berharap keluarga kedua-dua mangsa bersabar dan redha menerima ujian itu dan berdoa semoga roh mereka dicucuri dan dirahmati Allah dan ditempatkan bersama-sama roh para syuhada dan orang-orang beriman.

Media semalam melaporkan dua anggota polis terbabit terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina.

Kejadian itu turut menyaksikan 12 penceroboh bersenjata yang merupakan sebahagian daripada 180 penceroboh yang dikepung pasukan keselamatan Malaysia terkorban.

Sumber

No comments:

Post a Comment