Pages

Tuesday, 19 March 2013

Op Daulat: Al-Quran Tonik Terbaik Ketenangan Diri


Beliau mungkin tidak berjubah, berserban atau hebat berceramah menjual auta di atas pentas, namun amalannya setiap pagi selepas solat subuh yang mengalunkan ayat suci Al-Quran benar-benar memberikan ketenangan bagi dirinya menangani musuh negara.

Beliau sedar, diri dan anggota pasukan yang diketuainya itu diperlekeh, dikutuk dan direndah-rendahkan kewibawaan mereka. Namun demi agama, bangsa dan tanahair, segala tohmahan itu tidak pernah meninggalkan bekas di hati.

Motif mereka cuma satu, “nyahkan penceroboh yang cuba mencemar kedaulatan negara”. Meskipun berat, itulah tanggungjawab yang harus dipikul oleh Ketua Polis Sabah, Datuk Hamza Taib.

Beliau kelihatan garang, bengis dan tegas di kaca televisyen, khususnya ketika berdepan dengan soalan-soalan provokatif dari media. Namun tidak ramai yang tahu bahawa beliau sebenarnya merupakan seorang yang sangat lekas mesra dan lembut hati.

Datuk Hamza mungkin kurang dikenali sebelum ini. Namun selepas terjadinya insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Ketua Polis Sabah ini tiba-tiba menjadi tumpuan seluruh dunia bagi mengikuti perkembangan semasa berhubung insiden berdarah tersebut.

Media asing, khususnya GMA 7 dari Filipina misalnya selalu cuba mencabar kesabaran emosinya dengan tuduhan tidak wajar. Misalnya, pihak PDRM dikatakan mengambil kesempatan menyerang pengganas meskipun Jamalul Kiram mengisytiharkan “gencatan senjata”.

Sebagai seorang ketua yang menyaksikan nyawa anggota-anggotanya terkorban di depan mata, mengenangkan anak isteri anggota bawahannya yang hilang tempat bergantung dan kini berdepan dengan media yang tidak berhati perut, apakah yang terbayang dihati kita?

Rasanya kalau tak tahan sabar dan gagal kawal emosi, mungkin kita akan jawab soalan tersebut dengan muncung M17 atau bazooka.

Namun dengan keberkatan Al-Quran dan tidak pernah tinggal solat 5 waktu, Datuk Hamza mampu mengawal emosi dan geramnya serta menjawab soalan provokatif itu dengan baik dan tepat.

Kata beliau, kata-kata Kiram III itu tidak lagi layak dihormati atau didengar memandangkan ketua pengganas itu pernah membunuh dua nyawa wira negara meskipun mengisytiharkan gencatan senjata sehari sebelumnya.

Malah pihak pengganas itu mengibarkan bendera putih, kononnya menyerah dan berdamai. Namun anggotanya diserang bertubi-tubi apabila menghampiri kawasan musuh dan menyaksikan dua dari wira negara terbunuh angkara musuh munafik itu.

Apapun, saya mengucapkan syabas kepada Datuk Hamza atas kecemerlangan beliau mengetuai pasukan keselamatan negara yang mempertahankan kedaulatan Malaysia. Hanya doa dan kata-kata semangat yang mampu diberikan. Hanya Allah SWT saja yang dapat membalas jasa kalian…

Suara Generasi Baru

No comments:

Post a Comment