Pages

Wednesday, 2 January 2013

Cabaran berliku skuad hoki



PELBAGAI cerita suka duka telah mewarnai arena sukan hoki negara sepanjang tahun 2012.

Bagaimanapun, - Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tetap komited memartabatkan sukan hoki ke satu tahap yang lebih tinggi.

Bermula dengan kegagalan skuad kebangsaan meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2012 apabila tewas kepada Pakistan pada saingan akhir Sukan Asia 2010 membuatkan pasukan negara terpaksa memilih laluan sukar.

Mereka terpaksa menyertai perlawanan kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland pada Mac lalu.

Ternyata harapan untuk melihat skuad kebangsaan beraksi pada pentas Sukan Olimpik seperti tahun 2000 di Sydney, Australia tidak kesampaian apabila mereka gagal melepasi perlawanan kelayakan pada bulan Mac.

Dalam pada itu, kekecewaan tidak sekadar berakhir di Dublin, sebaliknya terpalit pula kontroversi melibatkan jurulatih dan pemain sebaik pasukan itu pulang ke tanah air.

Semua berpunca apabila bekas jurulatih, Tai Beng Hai dikatakan menyalahkan disiplin pemain sebagai punca kekalahan sewaktu sesi bedah siasat dijalankan.

Bagaimanapun, masalah tersebut berjaya ditangani dengan sempurna oleh MHC, jurulatih dan pemain tanpa berlarutan panjang.

Sementara itu, berbeza pula dengan pencapaian diraih skuad remaja di bawah bimbingan jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang berjaya mencatat sejarah baharu buat sukan hoki negara.

Kejayaan menjulang Piala Remaja Asia 2012 di Melaka pada Mei lalu adalah satu pencapaian yang sangat ditagih sekali gus dapat mengubat kekecewaan ekoran kegagalan skuad senior dalam menggalas misi mereka di Dublin.

Walaupun kecemerlangan tersebut diraih oleh skuad remaja namun bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan gelaran juara Asia apabila terpaksa menewaskan pasukan handalan dunia seperti Pakistan, India dan Korea Selatan.

Lebih manis, kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj mendapat slot automatik ke kejohanan Piala Dunia Remaja di India tahun hadapan.

Setelah lebih tiga bulan bermain teka-teki, akhirnya pada penghujung bulan Ogos lalu, MHC telah mengumumkan satu nama bagi menggantikan Beng Hai dengan bekas jurulatih Ireland, Paul Revington.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama skuad hoki kebangsaan mendapatkan khidmat jurulatih asing selepas lapan tahun di bimbing jurulatih tempatan.

Kali terakhir pasukan hoki negara mendapat sentuhan 'orang luar' ialah melalui Paul Lissek dari Jerman pada tahun 2000 hingga 2003.

Tugasan antarabangsa pertama jurulatih berasal dari Afrika Selatan itu adalah pada kejohanan hoki Cabaran Juara-Juara 1 di Argentina pada November lalu dan pasukan negara meraih kedudukan keempat.

Pencapaian pasukan negara dalam kejohanan itu boleh dianggap sesuatu yang positif setelah menduduki tempat kelima pada tahun sebelumnya.

Bagi tugasan kedua, pencapaian tempat ketiga dalam Kejuaraan Hoki Trofi Asia 2012 di Doha, Qatar yang berakhir minggu lalu wajar dipuji selepas berjaya membalas dendam menewaskan China 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Walaupun mereka sekadar mengulangi skrip sama yang dilakar oleh skuad tahun lalu pada kejohanan edisi pertama di Ordos, China namun kejayaan kali ini dengan mengikat Pakistan 3-3 serta menewaskan India 5-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan wajar dipuji.

Dengan berakhirnya tahun 2012 bermakna ranjau yang lebih besar bakal menanti bagi skuad senior dan remaja negara yang ketika ini dalam persiapan bagi menghadapi misi masing-masing.

Tahun 2013, skuad senior bakal menghadapi saingan Piala Asia yang berlangsung di Ipoh, Perak pada bulan Julai manakala pasukan remaja pula akan ke India untuk menghadapi Piala Dunia Remaja pada Disember depan.

Sumber

No comments:

Post a Comment