Pages

Friday, 4 January 2013

Apple iPhone 5 : Telefon Pintar Ternipis Di Dunia



PENANTIAN peminat peranti pintar iPhone generasi kelima , berakhir dengan ketibaan iPhone 5 ke negara ini yang dilancarkan pada 13 Disember lalu.

Telefon tersebut dijual di pasaran tempatan genap tiga bulan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Apple Inc., memperkenalkan model terbaharu itu di negara berkenaan.

iPhone 5 yang digelar sebagai 'telefon pintar ternipis di dunia' dengan material utama daripada gelas dan aluminium menjadikannya lebih nipis sebanyak 18 peratus dan 20 peratus lebih ringan berbanding generasi terdahulu iPhone 4S.

Kemunculan iPhone 5 yang meneruskan tradisi kecemerlangan Apple dalam teknologi telefon pintar mendapat sambutan luar biasa di negara ini yang peminatnya sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya lebih awal.

Di Malaysia, Wong Fee Wee merupakan individu pertama yang memiliki iPhone 5 sempena pelancarannya oleh syarikat peneraju penyedia komunikasi bersepadu, Maxis Berhad (Maxis).

Kira-kira 500 pengguna beratur seawal pukul 12 tengah malam untuk mendapatkan peranti skrin sesentuh popular berkenaan yang ditawarkan syarikat telekomunikasi tersebut.

Syarikat telekomunikasi tersebut merupkan yang pertama melancarkan iPhone 5 di negara ini dengan memperkenalkan beberapa pelan eksklusif khusus kepada pelanggannya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Bersama Maxis, Suren J. Amarasekera, seiring dengan pelancaran gajet paling dinantikan pengguna setia produk jenama iPhone, Maxis turut mengintegrasikan Passbook bagi memudahkan pengguna mereka.

"Melalui integrasi yang dilaksanakan ia dilihat mampu menyediakan kemudahan tambahan selain memudahkan tempahan awal pelanggan serta membolehkan mereka mengetahui acara berkaitan Maxis menerusi Passbook tersebut," katanya pada majlis Pelancaran iPhone 5 di ibu negara baru-baru ini.

Selain itu, Maxis turut menyediakan jaringan data terbesar selain memperkenalkan aplikasi istimewa bagi iPhone 5 dengan memberi lebih banyak pengalaman kepada pengguna.

Maxis turut menawarkan lima pelan iValue kepada pelanggan dengan kombinasi mudah alih tertinggi dan data.

Di samping itu, Maxis menawarkan pakej dalam kategori pelan iValue dari serendah RM50 hingga RM375 manakala harga peranti dijual bermula pada harga RM999 (mengikut pelan data) selain memperkenalkan pelan data dan WiFi mudah alih berkapasiti hingga 64 giga bait (GB)

iPhone 5 yang menjadi tumpuan serata dunia itu dibina dengan skrin lebih besar bersaiz 4 inci dengan paparan resolusi 1,136 x 640 piksel, berteknologi 4G LTE, chip A6 serta seberat 112 gram.

Ia juga mempunyai ciri tambahan lain iaitu bahagian penyambungan lebih kecil sekali gus menjadikan aksesori lama seperti kabel pengecas dan pembesar suara bersaiz besar tidak akan dihasilkan lagi.

Kamera yang didatangkan dengan kualiti definisi tinggi (HD) itu turut mempunyai pengimbas lapan mega piksel, beresolusi 3,264 x 2,448 piksel dengan teknologi iluminasi di bahagian belakang selain mempunyai penapis IR hibris.

Sebagai menghargai pelanggan mereka yang setia, Maxis turut memberi diskaun istimewa kepada pelanggan yang berdaftar sebagai pemegang kad Maxis One Club (MOC).

Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran pelan Maxis bersama iPhone 5, layari laman web www.maxis.com.my/iphone.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment