Pages

Monday, 31 December 2012

Ustaz dan Ustazah Segera PAS Wajib Baca



PENGLIBATAN golongan artis sebagai figura masyarakat tidak terbatas di pentas hiburan semata-mata.

Kini ramai di kalangan mereka (artis) yang melibatkan diri dalam kancah politik dengan pelbagai matlamat dan agenda. Kesinambungan pembabitan artis dalam politik bukanlah suatu yang asing pada masa sekarang.

Jika kita imbas beberapa figura politikus terkemuka dunia juga lahirnya di kalangan artis. Lihat sahaja teraju utama filem Love Is on The Air iaitu Ronald Reagan yang berjaya mewakili Amerika Syarikat sebagai Presiden, hero The Terminator, Arnold Schwarzenegger menakluki California sebagai Gabenor manakala Joseph Estrada menjadi Presiden Filipina.

Tidak ketinggalan Amitabh Bachan dan MG Ramachandran juga merupakan artis yang menjadi ikon politik di India.

Namun, keterbukaan beberapa artis tempatan sejak kebelakangan ini yang mengambil bahagian dalam parti politik dilihat sedikit sebanyak memberi kejutan dan tempias buat pemerhati industri hiburan dan juga penganalisis politik di Malaysia.

Adakah pembabitan mereka ini (artis) mampu mengubah satu landskap politik baru untuk Malaysia ataupun penglibatan yang dikatakan hanya sekadar untuk merintih populariti semata-mata?

Dalam konteks Malaysia sendiri, trend artis berkecimpung dalam politik sudah bermula sekitar tahun 2000 lagi apabila ketika itu dunia seni diberitakan tentang penyertaan Erra Fazira dan Erma Fatima dalam pergerakan Puteri UMNO yang pada ketika itu merupakan sayap baru parti tersebut.

Trend ini berlanjutan sehinggalah negara dikejutkan dengan penyertaan seorang demi seorang artis ke dalam parti politik.

Antara nama-nama popular antaranya Amy (Search), Jamal Abdillah, Afdlin Shauki, Zed Zaidi, Bob Lokman, Hairie Othman, Abby Abadi, Zainal Abidin dan Aishah serta Tan Sri Jins Shamsuddin yang pernah diangkat menjadi senator.


Pasti ada korelasi antara mereka dengan parti politik yang diwakili. Kalau dahulu pembabitan artis dalam politik hanya dilihat bertujuan untuk menjayakan mana-mana acara anjuran sesebuah parti politik.

Sekadar memenuhi undangan

Kehadiran mereka sekadar untuk memenuhi undangan mahupun menghiburkan penyokong-penyokong parti.

Golongan itu digunakan oleh parti politik untuk menarik orang ramai datang ke sesebuah kempen yang dilakukan. Namun, senario itu berubah apabila artis tidak lagi berperanan menjadi batu loncatan kepada mana-mana pertubuhan politik bagi menarik perhatian orang ramai sebaliknya mereka sendiri turut terlibat dalam bidang berkenaan secara serius.

Bagaimanapun para artis perlu beringat bahawa berpolitik dan menganggotai parti politik merupakan dua subjek yang berbeza.

Sebagaimana bezanya bercakap tentang bola sepak dari kerusi penonton dengan bermain bola sepak sendiri di tengah padang. Keputusan seseorang artis itu untuk menyertai mana-mana parti politik pastinya dipengaruhi banyak faktor.

Perjuangan 'periuk nasi'

Kajian yang telah dijalankan oleh Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Melaka baru-baru ini mendapati bahawa penyertaan artis dalam parti politik mengunjurkan kepada perjuangan ‘periuk nasi’ golongan seni.

Ini membawa kepada satu pendedahan bahawa kebanyakan artis yang aktif dalam politik rata-ratanya menyatakan pentas politik merupakan satu platform besar untuk mendendangkan suara dan buah fikiran mereka (artis) untuk disampaikan dan dikongsi bersama penyokong parti.


Pemikiran ataupun pendapat yang mengatakan pentas politik merupakan satu platform untuk menyuarakan permasalahan golongan artis atau seniman perlu disangkal dari kotak fikiran kita.

Ini kerana inti pati penyertaan dalam mana-mana parti politik adalah sangat luas.

Menyertai parti politik bererti bukan sekadar membawa perjuangan golongan mereka (artis), malah melangkaui nasib dan masa depan agama, bangsa dan negara.

Bayangkan seandainya Ronald Reegan ataupun Joseph Estrada bercakap dan memperjuangkan hal seni dan hiburan semata-mata sepanjang tempoh pemerintahan. Bagaimana perihal pembentukan negara dan hala tuju dasar?

Menyertai parti politik atau beralih dari seorang artis kepada ahli politik membolehkan seseorang artis itu mendapat hak dan memainkan peranan sebagai ahli.

Ini bererti mereka layak untuk menjawat jawatan di dalam parti. Mengamalkan praktik demokrasi sesebuah organisasi, iaitu hak memilih dan dipilih sebagai seseorang yang berjawatan bagi mengemudi parti. Namun, sejauh manakah hak dan peranan sebagai ahli parti ini difahami sepenuhnya oleh artis itu sendiri?

Kita tahu sebagai ahli parti yang berdaftar, seseorang itu mempunyai ruang untuk menyuarakan pendapat, idea dan usul dalam mesyuarat agung tahunan.

Kebanyakan parti politik di negara ini menganjurkan mesyuarat agung tahunan masing-masing secara besar-besaran dan dilihat telus dalam mengendali apa jua usul.

Liputan media

Mesyuarat agung tahunan sesebuah parti politik pasti mendapat tempat dan liputan meluas pihak media kerana acara ini mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Sama ada di kalangan ahli parti, penganalisis politik mahupun penyokong parti. Artis perlu memahami liku-liku dan sorotan perjalanan menjadi ahli parti bermula dari proses mengurus dan mentadbir keahlian politik sehinggalah duduk bersidang di dewan mahupun parlimen bagi membincangkan perubahan ataupun hala tuju industri yang lebih matang.

Ini bukan sekadar satu plot menyerahkan borang keahlian kepada pemimpin tertinggi parti dan dihadiri para wartawan untuk merakamkan gambar yang kemudiannya menjadi satu fenomena di dada akhbar, televisyen, mahupun medium dalam talian sebagai satu lagi persembahan yang ingin dipertontonkan kepada masyarakat.


Perkongsian ‘karya’ serta pembawaan ideologi berteraskan politik bukan lah semudah berkongsi gambar profil atau memuat naik status di laman media baru. Sering kali kita melihat ‘pertelagahan’ antara artis dan penyokong parti ditimbulkan di laman sosial dalam mempertahankan ideologi politik masing-masing.

Dangkal ilmu

Hal ini berlanjutan akibat kedangkalan ilmu dan akal politik sesetengah artis yang dimonopoli pula dengan ketaksuban penyokong parti tertentu.

Pertembungan idea dan pandangan ini menjadikan industri hiburan dan politik menjadi cacamarba. Oleh itu, golongan artis perlu mendalami politik dan politik kepartian terlebih dahulu agar sama-sama dapat melakukan satu transformasi negara ke tahap lebih maju dan disanjung.

Mereka perlu benar-benar jujur dan ikhlas dalam menggalas tugas sebagai ahli parti dan bukan lagi masanya untuk terbawa-bawa ‘trend’ yang penuh glamor dan sentiasa mencipta kontroversi.

Artis perlu memahami tujuan berpolitik untuk membangun dan mendukung dasar-dasar parti atas semangat kesedaran tinggi agar pembangunan negara bangsa dan hala tuju nasional dapat terlaksana.

Sebaiknya mereka (artis) perlu melengkapkan diri dengan ilmu sains politik, perang saraf dan komunikasi sebelum menempatkan diri di tengah-tengah khalayak untuk berbicara dan berkomentar berkaitan politik semasa agar setiap tutur bicara, idea dan tingkah tidak menjadi bahan ketawa atau lebih malang menjadi sumber perpecahan bangsa.

NAJAH RAIHAN SAKRANI & SHAFEZAH ABDUL WAHAB
Penulis merupakan Pensyarah, Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM, Melaka




No comments:

Post a Comment