Pages

Monday, 31 December 2012

Suami Siti Norhaliza Selamat Pulang Ke Tanah Air



Selepas hampir 15 hari dirawat di Hospital Southland, Queenstown, suami Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa selamat pulang ke tanah air, kelmarin, diiringi Siti dan anggota keluarga lain. 

Kepulangan Khalid disahkan kakaknya yang juga penerbit drama, Datin Zaiton Muhammad Jiwa menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada HIP, semalam. 
Salam, kami sudah selamat sampai di Kuala Lumpur, semalam (kelmarin). Alhamdulillah, keadaan Datuk bertambah sihat. Terima kasih atas doa semua. 

Maaf, Datuk perlu berehat serta tidak bersedia menerima pelawat kecuali keluarga terdekat, katanya. 

Sebelum ini, HIP dimaklumkan, tarikh kepulangan Khalid dan Siti belum dapat ditetapkan. Ini kerana doktor yang merawat suami penyanyi No 1 negara itu dikatakan sedang bercuti sempena Hari Krismas. 

Sehubungan itu, niat HIP untuk merakamkan detik kepulangan Khalid di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang untuk tatapan peminat, tak kesampaian. 

Usaha mendapatkan komen Siti juga gagal. Menerusi SMS yang dikirimkan kepada pengurusnya, Rozi Abd Razak, dia memaklumkan Siti enggan ditemuramah kerana keadaan tidak mengizinkan. 
Maaf sangat, bab ini masih tidak dapat dibantu. Rasanya, Siti belum bersedia untuk diwawancara kerana keadaan masih tidak begitu mengizinkan. Maaf sekali lagi kerana saya hanya menyampaikan pesanan Siti, katanya menerusi SMS. 

Sementara itu, menerusi laman twitter anak ketiganya, Mohd Asyraf, bertarikh 15 Disember, dia memberitahu bapanya mungkin memerlukan tempoh dua bulan untuk pulih. 

Asyraf yang banyak melaporkan perkembangan terkini bapanya sepanjang berada di New Zealand turut memberitahu Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang prihatin bertanya khabar bapanya. Menurut Asyraf, bapanya berhasrat untuk menjual semua motosikal berkuasa tinggi yang dimiliki. 

Anak ketiga daripada empat beradik itu juga sangat berterima kasih kepada Siti serta ibu saudaranya, Zaiton kerana menjaga bapanya dengan baik serta sentiasa berada di sisi bapanya yang memerlukan perhatian. 

Awal bulan ini, Khalid yang meminati motosikal berkuasa tinggi berada di New Zealand bersama beberapa rakan sejak 6 Disember lalu atas urusan perniagaan. 

Bagaimanapun, pada 13 Disember lalu, ketika keluar bersiar-siar, motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu melanggar pagar sehingga mengakibatkan kecederaan pada bahu, kaki serta tangannya. 

Ketika kejadian, Siti sedang bersiap untuk menjayakan Konsert Ekspresi Karya Gemilang bersama Shila Amzah, Amy Search, Rossa dan Ungu di Banjarmasin dan Jakarta. Namun, akhirnya Siti terpaksa menarik diri untuk terbang ke New Zealand.

Sumber

No comments:

Post a Comment