Pages

Sunday, 9 December 2012

Pengambilan penjawat awam dijangka kurang tahun depan: Pengerusi SPA



PUTRAJAYA: Pengambilan penjawat awam dijangka berkurangan tahun depan berikutan pelaksanaan opsyen pelanjutan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam hari ini. 

Secara purata, beliau berkata, SPA menerima hampir 1.2 juta permohonan kerja setiap tahun dan kira-kira 40,000 calon diambil untuk berkhidmat dalam sektor awam. 


"Pada tahun ini dan tahun depan, ramai penjawat awam telah memilih opsyen untuk bersara pada umur 60 tahun, maka pengambilan sudah berkurang. 

"Namun, selepas tahun depan, apabila ramai yang bersara pada usia 60 tahun, jumlah pengambilan akan bertambah sekurang-kurangnya 10 peratus. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 penjawat awam akan diambil," katanya selepas merasmikan Seminar Pengenalan Kepada Skil Pekerjaan Sektor Awam di Pejabat SPA di sini, hari ini. 

Mahmood berkata, seminar yang pertama kali diadakan ini bertujuan untuk membantu calon yang memohon pekerjaan dengan SPA agar melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran skil pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan peratusan kebolehdapatan pekerjaan di sektor awam. 

"Seminar ini akan terus diadakan di seluruh negara dengan kerjasama dari badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, syarikat dan individu secara perkongsian pintar," katanya. 

Kira-kira 200 peserta menghadiri seminar sehari ini, anjuran bersama SPA dan Persatuan Profesional Melayu Malaysia (PPMM) bagi mendengar penjelasan mengenai peperiksaan, penilaian dan temu duga serta pengetahuan berkaitan urusan pengambilan di SPA. 
SPA menyampaikan tiga modul dalam seminar tersebuit iaitu; Pengurusan Pengambilan, Kaedah Peperiksaan dan Penilaian Kompetensi dan Kaedah Temu Duga. 

Sementara PPMM menyampaikan tiga modul yang menerangkan tentang skil pekerjaan yang diperlukan calon yang mahu memohon pekerjaan di sektor awam iaitu Skil Asas, Skil Pemikiran Aras Tinggi dan Skil Pembangunan Diri. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment