Pages

Friday, 8 March 2013

Rakyat Sabah Sambut Baik Wujud Kawasan Keselamatan Khas


Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah amat dihargai dan disambut baik penduduk negeri ini.

Bagi penduduk Lahad Datu, yang akan dijadikan sebagai pusat perintah bagi lima daerah terlibat (Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu), ia adalah jawapan kepada permintaan mereka yang selama ini mahu kerajaan menempatkan pasukan keselamatan yang lebih mantap khususnya di Lahad Datu.

Anggota Dewan Undangan Lahad Datu Datuk Nasrun Datu Mansur berkata kehadiran pasukan keselamatan di sini akan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan mereka di daerah ini yang terdedah kepada ancaman asing melalui laut.

Penyelia Masyarakat Lahad Datu Saidin Separudin pula berharap lebih banyak aset ketenteraan ditempatkan di daerah ini.

"Apabila masyarakat melihat aset-aset tentera ditempatkan di sini, masyarakat akan berasa lebih selamat dan penceroboh asing pun tidak berani datang membuat hal," katanya.

Lahad Datu terletak di tengah-tengah dua daerah utama di pantai timur Sabah iaitu Tawau dan Sandakan serta mempunyai bilangan penduduk kira-kira 300,000 orang.

Tuara Mol, 60, pula berpendapat, Sabah akan lebih aman dan selamat dengan adanya Kawasan Keselamatan Khas sekali gus akan meningkatkan kedatangan pelancong ke daerah itu.

"Di sini, masyarakatnya dahulu hidup dengan aman dan damai. Sejak kedatangan pengganas itu, hidup kami menjadi tidak tenteram. Bagus juga kalau dibina kawasan keselamatan khas itu. Sekurang-kurangnya lebih ramai anggota polis dan tentera berada di sini jika terjadi sesuatu hal," katanya.

Di SEMPORNA, Amansah Muntira, 47, berkata pengumuman perdana menteri itu ternyata memberi pelbagai manfaat kepada penduduk di daerah ini terutama dalam sektor pelancongan.

"Sejak akhir-akhir ini, selepas insiden berbalas tembakan di Kampung Simunul, pelancong amat takut untuk datang ke Semporna kerana bimbang dengan keselamatan mereka, selepas apa yang diumumkan perdana menteri, saya yakin, pelancong akan bertambah kembali," katanya kepada Bernama.

Mohd Kapita Masta, 36, berkata beliau optimis apa yang diumum perdana menteri itu mampu meningkatkan keyakinan penduduk Sabah terhadap keselamatan di negeri itu.

"Saya yakin tindakan ini mampu mendaulatkan keselamatan negara. Apa yang penting saya berharap konflik bersenjata ini dapat ditamatkan serta-merta," katanya.

Di SANDAKAN, penjawat awam Raizah Abdullah, 44, berkata kawalan keselamatan khas itu dapat meningkatkan keyakinan keselamatan rakyat di Sabah khususnya Sandakan sebagai sebuah bandar alam semula jadi.

"Itu adalah terbaik bagi rakyat tiada lagi rasa was-was terhadap isu keselamatan di pantai timur Sabah...apabila ada tentera dan polis mengawal keselamatan di sini, rakyat rasa selamat terutama penceroboh di Lahad Datu yang membuat kita semua rasa takut," katanya.

Pekerja swasta John Lewis, 35, pula berkata pusat kawalan keselamatan itu dapat memantau kemasukan pendatang asing dan akan membuat rakyat rasa keselamatan mereka terjamin dan kawasan perairan di pantai timur Sabah lebih selamat untuk dimasuki.

Sandakan, bandar kedua terbesar di Sabah yang menghadap Laut Sulu terletak kira-kira 28 kilometer dari Filipina merupakan kawasan terkenal dalam perniagaan pertukaran barang selain pengeluar kayu balak terbesar di negara ini di samping minyak kelapa sawit, hasil laut dan pertanian.

Di KUDAT, Zainal Kuminding, seorang penduduk di daerah ini berkata walaupun kedudukan Kudat agak jauh dari perairan pantai timur, pembentukan Kawasan Keselamatan Khas yang merangkumi kawasan perairan Kudat adalah tepat pada masanya.

"Langkah berjaga-jaga sebelum sesuatu perkara tidak diingini berlaku adalah lebih baik daripada menunggu kejadian itu berlaku," katanya.

Di TAWAU, penduduk di daerah ini, Aliuddin Hisyamuddin berkata penubuhan kawasan itu adalah sesuatu yang telah lama dinanti-nantikan.

"Kita harap dengan adanya kawasan keselamatan khas ini, persepsi rakyat kononnya pantai kita khususnya di kawasan pantai timur tidak terkawal akan lenyap, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat Sabah bahawa negeri ini tidak pernah diabaikan dalam soal keselamatan," katanya.

Rakannya Mohd Zaini Salawad berharap kawasan pantai negeri ini akan lebih selamat dan tidak lagi terdedah kepada pencerobohan.

mStar

No comments:

Post a Comment