Pages

Saturday, 9 March 2013

Ops Daulat: Pengalaman Baru Buat “Weapon Sensor Officer”


PENGGUNAAN pesawat pejuang F/A-18D Hornet oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi memusnahkan kedudukan lanun-lanun Sulu di Kampung Tandao pada 4 Mac lepas, sebetulnya memberikan pengalaman baru  kepada 3 pegawai Weapon Sensor Office (WSO) yang terlibat dalam operasi tersebut.

Dalam operasi itu, memang juruterbang yang melepaskan bom jenis LGB Paveway II, tapi WSOlah yang membuat keputusan bila bom tersebut perlu dilepaskan.

Sememangnya jawatan ini dan bidang tugas mereka dalam TUDM, jarang diberi publisiti kepada orang awam kerana tidak seperti juruterbang, WSO tidak mengawal pesawat tersebut walaupun beliau diberikan latihan asas penerbangan.

Dalam kes pesawat F/A18D Hornet, ramai tahu pesawat tersebut mempunyai 2 tempat duduk, tapi tak ramai yang tahu bahawa pegawai yang duduk di belakang juruterbang itu adalah WSO yang membantu juruterbang dalam operasi serangan, navigasi dan sebagainya.

Dengan adanya WSO, juruterbang mampu menumpukan perhatian kepada pengendalian pesawat dan serangan udara ke udara tanpa perlu memikirkan operasi persenjataan lain dan sensor tertentu yang akan diuruskan oleh WSO dibelakang.

Di Malaysia, bidang tugas sebagai WSO adalah luas kerana kebanyakkan pesawat canggih yang dimiliki TUDM sekarang, seperti Sukhoi 30 MKM dan F/A 18D Hornet sendiri, mempunyai duo seats.

Malah, dari 3 pesawat MRCA generasi baru yang disenarai pendek untuk menggantikan pesawat MIG 29N nanti, iaitu Eurofighter Typhoon, Rafale dan F/A 18F Hornet, kesemuanya boleh dioperasikan dalam mod ini.

Terutama sekali, pesawat Rafale yang membolehkan WSO mengambil alih operasi pesawat dari belakang kalau juruterbang di depan menghadapi masalah-masalah tertentu yang menghalangnya dari mengendalikan pesawat dengan baik.

Sumber menyatakan kepada penulis, bukti kejayaan Rafale mengendalikan operasi udara ke darat dalam krisis di Mali dan Libya sebelum ini, bakal membantu penawaran pesawat itu untuk menjadi pesawat pilihan TUDM bagi menggantikan MIG 29N, berikutan keperluan operasi di Sabah yang memperlihatkan keperluan mendesak untuk pesawat dengan keupayaan itu.

Apatah lagi setelah Perdana Menteri mengumumkan pembentukan zon keselamatan khas di 3 kawasan yang terlibat dengan pencerobohan oleh lanun-lanun dari Sulu ini petang tadi.

Rumusannya, untuk anak-anak muda yang mengintai peluang berada di dalam kokpit pesawat canggih yang dioperasikan TUDM, kerjaya sebagai juruterbang bukanlah satu-satunya pilihan yang membolehkan anda berada di dalam situasi tersebut.

Kerjaya sebagai WSO ini juga merupakan bidang kerjaya yang tidak kurang hebat jika nak dibandingkan dengan juruterbang yang sebenar.

Suara Generasi Baru

No comments:

Post a Comment