Pages

Sunday, 10 March 2013

Lahad Datu: Menteri Perjelas Penggunaan AirAsia


Keputusan Kementerian Pertahanan menggunakan pesawat tambang murah AirAsia bagi membawa anggota tentera ke Sabah dibuat kerana kementerian itu memerlukan pesawat yang lebih besar.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pesawat Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hanya boleh menampung kurang daripada 200 anggota setiap satu.

"Oleh itu kita memerlukan pesawat yang lebih besar untuk menghantar tentera bagi mengukuhkan pasukan keselamatan di Sabah pada masa kritikal seperti ini.

"Ini adalah perjanjian di antara Kementerian Pertahanan dan syarikat penerbangan itu tahun yang lalu dan amalan sedemikian adalah perkara biasa di negara-negara lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenaikan pangkat bagi 183 kakitangan di kem tentera Sungai Layar di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid mengulas mengenai perdebatan di kalangan pengguna internet dan laman sosial mengenai keputusan kementerian itu menghantar dua batalion askar ke Sabah menggunakan pesawat AirAsia pada 3 Mac lalu.

Pada hari yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony turut memuat naik gambar pasukan keselamatan itu sedang bersiap sedia menaiki pesawat AirAsia melalui akuan Twitter peribadinya.

Gambar berkenaan kemudiannya dikongsi oleh pengguna internet terutama di Facebook dan Twitter.

mStar Online

No comments:

Post a Comment