Pages

Thursday, 14 March 2013

Kami Bertempur Dengan Pengganas Sebenar, Bukan Sandiwara


Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menegaskan pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas sebenar dan bukan satu sandiwara sebagaimana yang dicanangkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya tidak faham jika orang kata sandiwara. Nyawa dipertaruhkan... kami menghadapi musuh sebenar dan bukan lakonan.

"Dua anggota tentera dan lapan anggota polis terbunuh, adakah itu sandiwara? Tepuk dada tanya selera," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pengkebumian Allahyarham Kpl Ahmad Hurairah Ismail di Kampung Bayu Lalang, di sini, Rabu.

Ahmad Hurairah terkorban dalam pertempuran dengan pengganas di Sungai Nyamuk, Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Sabah.

Seorang lagi anggota tentera, Kpl Ahmad Farhan Ruslan pula terkorban dalam kemalangan jalan raya di Km 37 Lahad Datu-Tungku ketika menghantar makanan untuk anggota keselamatan dalam operasi itu.

Terdahulu, lebih 3,000 hadir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menyambut ketibaan jenazah dua pahlawan negara itu, yang diterbangkan melalui pesawat Charlie C-130, pada kira-kira 9.50 pagi.

Jenazah Ahmad Farhan dibawa ke rumah ibu bapanya di Perumahan Desa Darulnaim II, Pasir Tumboh.

Jenazah Ahmad Farhan dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Madrasah Pohon Celagi, Pasir Hor.

Menyifatkan Allahyarham seorang anggota yang berani, Zulkifli berkata siasatan mendapati Ammad Hurairah sempat berbalas tembakan dengan beberapa pengganas sebelum gugur di medan perang.

"ATM akan membantu keluarga Allahyarham, apa saja yang kita mampu," katanya.

Zulkifli turut menyampaikan sumbangan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Ismail Husin, 55, iaitu ayah kepada Ahmad Hurairah selepas pengkebumian tersebut.

Sementara itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turut hadir pada pengebumian itu meminta rakyat Malaysia bersatu dan menghentikan spekulasi berhubung soal keselamatan negara memandangkan ramai anggota keselamatan gugur ketika berjuang di perbatasan.

"Hentikan sagala tohmahan dan fitnah ini yang akhirnya akan meruntuhkan kita dan kita bertanggungjawab sebagai warganegara yang setia pada negara. Kita tak mahu satu pun suara sumbang yang memberi kata-kata yang menunjukkan kita tidak peka dengan kehibaan (yang dialami keluarga mangsa).

"Kita semua rakyat Malaysia amat terhutang budi dan kita berdoa semoga barisan hadapan akan teruskan perjuangan mereka untuk pastikan negara kita selamat sampai bila-bila," katanya.

Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Mohd Sharom Nordin berkata pengorbanan yang dilakukan oleh Allahyarham mencerminkan sikap taat dan setia kepada negara walaupun nyawa yang menjadi pertaruhannya.

"Kalau ada lagi orang mengatakan ini semua sandiwara, saya tak tahu nak cakap apa... rakyat kita, tentera kita sendiri... hari ini anak Kelantan telah mempertaruhkan nyawa untuk kedaulatan negara.

"Hilangkan syak wasangka, ini satu pengorbanan yang diterima Allah S.W.T.," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment