Pages

Saturday, 2 March 2013

Debat Bala dan Zulkifli Nordin Harus Diadakan


Kenyataan terbaru bekas penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang sebelum ini telah melarikan diri sejurus selepas membuat 2 pengakuan bersumpah yang saling bercanggah berhubung kes pembunuhan Altantuya di lihat amat meragukan. Dia yang tampil semalam di atas pentas pakatan pembangkang mendakwa kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib terlibat di dalam kes pembunuhan tersebut.

Yang menghairankan ialah, semua dakwaan tersebut tidak disertakan dengan sebarang bukti dan boleh disifatkan sebagai percubaan jahat untuk merosakkan imej Perdana Menteri semata-mata.

Sedangkan sebelum ini, mantan peguam bela Anwar Ibrahim, Datuk Zulkifli Nordin yang juga merupakan peguam berhubung kes tersebut menyatakan semua kenyataan Bala itu adalah merupakan fitnah dan niat jahat. Ini kerana menurut Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu, Bala selaku saksi ketika prosiding soal siasat, tidak pernah membangkitkan langsung isu yang diperkatakan ketika ini.

Dan sebagai peguam pembela, sekiranya terdapat sebarang keraguan yang boleh dikaitkan dengan Perdana Menteri, maka akan digunakan semaksimum mungkin demi untuk merealisasikan impian Anwar. Malah menurut beliau lagi, pernah satu ketika Anwar Ibrahim telah memberikan arahan kepadanya agar mewujudkan bukti ‘palsu’ untuk dikaitkan dengan Datuk Seri Najib yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Selaku orang yang pernah bersama dengan Anwar, Zulkifli Nordin juga turut menjelaskan, modus operandi yang digunakan oleh mereka adalah mudah dan pernah digunakan beberapa kali oleh pakatan pembangkang dalam kes-kes tertentu. Iaitu dengan mengunakan seseorang yang terlibat dengan kes yang dibangkitkan dan mempengaruhi mereka untuk mereka cipta bukti.

Bagi mewujudkan kredibilti terhadap bukti ciptaan tersebut, maka beberapa sandiwara perlu dimainkan sebagai satu usaha untuk mewujudkan keraguan dan persepsi di kalangan masyarakat. Dan seperti yang di katakan sebelum ini, selepas beberapa hari, kononnya atas nama pendedahan sebenar, Bala sekali lagi tampil membuat pengakuan bersumpah kononnya kenyataannya sebelum ini adalah palsu.

Sejurus selepas kenyataan itu, Bala terus menghilangkan diri untuk beberapa tahun, dan kembali semula beberapa hari yang lepas untuk mengatakan kononnya dia telah  diugut, diancam, diarahkan dan sebagainya. Maka benarlah seperti dakwaan Zulkifli Nordin sebelum ini ia adalah merupakan satu skrip lakonan yang telah dirancang bagi menguatkan kredibiliti kenyataan tersebut.

Memandangkan isu yang dibangkitkan ini adalah atas dasar kredibiliti, maka ada baiknya diadakan satu program wacana ilmu atau debat terbuka di antara Bala dan Zulkifli Nordin.

Ia secara tidak langsung dapat membersihkan imej Bala yang tercemar sebelum ini. Dengan cara ini juga, masyarakat secara keseluruhan dapat menilai sama ada isu yang dibawa ini mempunyai fakta atau hanya sandiwara demi kepentingan sesetengah pihak yang ingin merampas kuasa di Putrajaya.

Biarkan rakyat menilai, daripada terus disajikan dengan laporan dan maklumat rekaan ciptaan mereka yang berkepentingan. Tambahan pula, Bala juga sebelum ini mengatakan objektif utamanya ialah untuk menjatuhkan kerajaan BN/Umno. Kenyataan tersebut, jelas membuktikan isu yang di bangkitkan ini hanyalah merupakan isu politik yang membawa pendekatan ‘matlamat menghalalkan cara’.

No comments:

Post a Comment