Pages

Tuesday, 5 March 2013

Ayuh Rakyat Malaysia! Mari Bersatu Dalam Solidariti Tragedi Lahad Datu


Keadaan cuaca mendung di petang Ahad ini, seolah-olah turut meratapi kesedihan rakyat Malaysia keatas tragedi pencerobohan bersenjata di Lahad Datu yang memakan masa hampir sebulan. Ekoran tragedi itu juga, negara turut kehilangan 7 orang parajurit dan pahlawan negara yang gugur demi mempertahankan kedaulatan negara ini.

Ibu kota negara juga seolah sepi dengan kunjungan mereka yang ingin mengambil kesempatan cuti di hujung minggu. Rata-rata mengambil keputusan untuk duduk di rumah sambil menantikan berita dan perkembangan terkini isu di Lahad Datu yang dikatakan telah merebak ke kawasan sekitar.

Namun ia seoalah tidak memberi sembarang erti kepada sebilangan penyokong dan pengikut pakatan pembangkang yang tanpa peri kemanusian melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah demi kerana kuasa politik.

Ada yang menyokong kenyataan Tian Chua dengan mengatakan ia merupakan sandiwara kerajaan, ada juga yang mengatakan pihak tentera hanya menyamar sebagai pemberontak dan paling menyedihkan ada yang mengatakan pahlawan yang gugur itu adalah anjing kerajaan.

Begitulah rendah dan hinanya akhlak mereka yang mahu melihat semua isu agar dapat dipolitikkan, di saat parajurit negara sedang berhempas pulas dan bergadai nyawa demi memastikan rakyat dapat terus menikmati udara keamanan. Sedangkan di saat ini, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman dan kecenderungan politik sewajarnya bersatu hati dalam memastikan tergedi berdarah ini dapat ditamatkan dengan segera.

Remuk hati kehibaan, bilamana melihat luahan hati anak kecil yang mengatakan ayahnya telah mati dan ditanam kerana telah dibom. Air mata seolah-olah tidak mampu ditahan dari mengalir ketika melihat sayu dan sugulnya wajah isteri yang melihat jenazah suami yang gugur.

Ayuh rakyat Malaysia, ketepikan seketika sentimen politik kepartian, kerana ketika ini isteri, anak, ibu-bapa, kaum keluarga dan sanak saudara mereka yang sedang bertugas amat memerlukan sokongan dan dokongan rakyat Malaysia secara keseluruhan. Jangan kita tambahkan lagi kedukaan keluarga mereka yang sedang meratapi pemergian wira negara yang gugur dengan kenyataan-kenyataan yang biadap dan kurang ajar.

Adalah penting, untuk rakyat Malaysia agar bersatu hati dalam mendepani isu yang sedang melanda ini, bersama kita berikan kekuatan semangat dan moral kepada parajurit yang sedang bertugas. Tunjukkanlah walaupun untuk seketika semangat patriotik di dalam diri sebagai balasan keatas pengorbanan mereka.

Itu belum lagi dikira dengan penguna-penguna media sosial seperti Facebook dan Twitter yang secara tiba-tiba menjadi pakar startegik dan operasi gerak gempur dengan mempersoalkan kewajaran tindakan berkuasa. Pelbagai persoalan dilemparkan dengan mempertikai tindakan yang diambil oleh pihak polis dan tentera dalam berdepan dengan penceroboh bersenjata ini.

Mengapa tidak guna jet, macam mana boleh bolo, mana pergi bom dan kelengkapan berat dan sebagainya adalah antara persoalan yang dilemparkan kepada kerajaan? Pelbagai jawapan dituntut seolah-olah apa yang berlaku di Lahad Datu itu adalah merupakan permainan bola sepak. Sedangkan ia adalah antara perancangan dan strategi perang yang seharusnya tidak perlu untuk didedahkan kepada masyarakat umum. Ini bukan masa untuk seisi percambahan ilmu yang mencari pendekatan terbaik yang perlu diambil. Sudah pasti pimpinan tertinggi PDRM dan tentera sedar dan tahu akan apa yang perlu untuk dilakukan, kerana setiap tindakan yang diambil adalah merupakan satu risiko besar yang harus dipikul oleh parajurit yang sedang bertempur.

Buat rakyat Sabah, dinasihatkan juga agar tidak memaklumkan atau berkongsi apa-apa isu berhubung pergerakan pihak polis dan tentera. Ini kerana dikhuatiri, secara tidak langsung akan memberikan gambaran dan maklumat kepada para penceroboh bersenjata mengenai pergerakan dan pelan tindakan pihak keselamatan negara.

Sebarang tindakan yang diambil, walaupun tanpa niat mungkin akan menyukarkan dan memburukkan lagi operasi pihak keselamatan memburu saki-baki penceroboh bersenjata itu. Bersamalah kita tunjukkan semangat solidariti dalam memastikan kedaulatan negara dan keselamatan para pejuang kita.

Hentikan juga penyebaran khabar-khabar angin yang belum dipastikan kesahihan maklumat tersebut. Seperti kata cerdik pandai, janganlah menjadi sebahagian dari masalah, sekiranya kita bukan sebahagian dari penyelesai masalah.

Suara Generasi Baru

No comments:

Post a Comment