MELAKA: Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang juga Timbalan Speaker DUN Melaka Datuk Idderis Kassim meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putra di sini kira-kira 6.50 petang Ahad.
Allahyarham Idderis, 66, meninggalkan isteri Datin Rohani Yunus dan dua anak lelaki Zamran dan Zulkarnain.
Zamran, 39, ketika ditemui pemberita berkata bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan sejak 19 Februari lepas.
"Arwah menghidap penyakit barah sejak 2011 dan keadaannya bertambah kritikal kira-kira 4.30 petang tadi sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor di hadapan seluruh ahli keluarga," katanya.
Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ayer Limau pada 11 pagi esok.
Katanya Allahyarham Idderis sempat menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi DUN Lendu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina sebelum dimasukkan ke hospital berkenaan.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai guru besar di Sekolah Agama Ayer Limau pada 1970 dan mengembangkan kerjayanya dalam bidang pendidikan sebagai Ketua Unit Pengurusan Sekolah-sekolah Jabatan Agama Islam Melaka sebelum bersara pada 2003.
Beliau juga terkenal sebagai penceramah yang sentiasa menjalankan aktiviti dakwah di surau serta masjid di negeri itu dan menceburi bidang politik sejak 1970-an.
Pada pilihan raya umum ke-12, Allahyarham Idderis yang mewakili Barisan Nasional menewaskan calon PAS Mohd Amir Yaakub dengan majoriti 1,633 undi.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan pemergian Idderis menghadap Ilahi sebagai satu kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan rakyat Melaka.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata Allahyarham cukup komited dan berdedikasi ketika hayatnya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN dan Timbalan Speaker.
"Allahyarham amat disenangi rakyat di kawasannya, marilah kita sama-sama berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment