Pages

Monday, 25 February 2013

SPR Sedia Hadapi Pelbagai Kemungkinan Pada PRU-13



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia berdepan pelbagai kemungkinan termasuk kekecohan atau proses perjalanan pilihan raya terganggu di pusat penamaan calon dan pengundian pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata cabaran mengurus pilihan raya kali ini berbeza kerana banyak perkara baharu akan dilaksanakan tambahan pula pilihan raya umum ini dilabel sebagai 'ibu segala pilihan raya', 'pilihan raya paling panas' dan 'pilihan raya paling sengit'.

"Banyak perkara baharu yang diperkenalkan akan dilaksanakan SPR pada pilihan raya kali ini yang merupakan 'pilot project' seperti pengunaan dakwat kekal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Taklimat Ulangan kepada Pengawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus bagi negeri Perak di Segari di sini, Ahad.

Beliau berkata kekecohan atau proses pengundian boleh terganggu berhubung penggunaan dakwat kekal sekiranya pemilih tidak mematuhi peraturan atau undang-undang pilihan raya.

Ada beberapa keadaan yang menyebabkan pemilih tidak akan diberi kertas undi antaranya tidak mahu menunjukkan jari untuk diperiksa, tidak membenarkan jari dicalit (dengan dakwat kekal) dan jari telah dicalit dengan dakwat kekal, katanya.

Wan Ahmad berkata elemen penggunaan dakwat kekal adalah wajib dan merupakan antara perkara penting yang perlu difahami semua parti politik dan rakyat.

Beliau berkata sesiapa yang mengganggu kelancaran proses pilihan raya atau mencetuskan kekecohan serta menghalang proses itu di tempat pengundiaan boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya 1981) iaitu didenda RM1,000 dan dipenjara.

"Jangan dengar ajaran songsang yang berfikiran mahu melakukan sesuatu yang boleh mengganggu gugat keadaan di tempat pengundian. Hak kita sebagai pengundi mesti dilaksanakan dengan masuk ke tempat mengundi, mengundi dan lepas itu keluar dari situ. Matlamat SPR adalah untuk mewujudkan proses pengundian yang lancar dan aman," katanya.

Beliau berkata banyak penambahbaikan yang dilakukan SPR dalam usaha mewujudkan pilihan raya bersih, lancar dan aman antaranya penggunaan dakwat kekal, tempoh kempen lebih 11 hari serta pelantikan pemerhati bebas pilihan raya yang mempunyai akses ke tempat pengundian dan memantau aktiviti kempen.

Selain itu, Wan Ahmad berkata berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan dua hari lepas, Perak mempunyai 1,397,279 pemilih dengan 778 pusat pengundian termasuk pusat pengundian awal serta 2,667 saluran mengundi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment