Pages

Sunday, 10 February 2013

Jangan Benarkan Api Perkauman Tercetus


Rakyat Malaysia diseru untuk memelihara tradisi yang menjadi kunci kekuatan selama ini dengan tidak membenarkan mana-mana pihak mencetuskan api perkauman yang pastinya akan meruntuhkan keharmonian yang telah terbina sejak sekian lama.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tanpa persefahaman dan kesepakatan antara kaum, keceriaan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat dan negara kini tidak akan menjadi kenyataan.

"Mudah-mudahan kedatangan Tahun Ular akan membawa limpahan kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan kepada masyarakat Cina dan juga seluruh rakyat di negara kita. "Marilah kita kekalkan perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara kita demi menjamin masa depan yang lebih maju dan makmur," katanya dalam perutusan sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Cina esok.

Sambil mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat Malaysia keturunan Tionghoa, Muhyiddin berkata perayaan Tahun Baharu Cina menjadi satu lagi bukti betapa rakyat mempunyai kebebasan untuk meraikan perayaan masing-masing dalam suasana yang meriah dan harmoni.

Beliau berkata tidak ada sekatan, jauh sekali larangan kepada kaum-kaum di negara ini termasuk kaum Tionghoa untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dan seterusnya meraikannya secara besar-besaran. "Saya percaya toleransi kaum yang menjadi teras kepada keamanan Malaysia sejak dahulu lagi akan dapat dikekalkan jika sikap saling faham memahami, hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain terus menjadi amalan.

"Sebagai kaum kedua terbesar di negara ini, perayaan Tahun Baharu Cina menjadi lebih menyerlah dengan adanya penyertaan kaum-kaum lain yang turut memeriahkan kedatangan Tahun Ular," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga berharap agar negara terus dilimpahi dengan nikmat kemakmuran dan keharmonian dengan adanya rakyat yang bersatu hati. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment