Pages

Saturday, 5 January 2013

TOKONG PUN NAK GUNA KALIMAH ALLAH, DAH PARAH NI!



Desakan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu dikhuatiri akan memenuhi agenda penularan pluralisme di negara ini sehingga menimbulkan kecelaruan sehingga mengancam akidah umat Islam.

Justeru, pelbagai pihak tidak rela kepentingan Islam dieksploitasi dalam kancah permainan politik dan mahu kedudukannya sebagai agama rasmi negara ini dihormati seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia, Abu Suffian Abu Yaziz, berkata tujuan sebenar Lim Guan Eng membuat gesaan itu boleh dipersoalkan kerana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-82 yang bersidang pada Mei 2008 sudah memutuskan lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam. 

Sambil menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP itu sebagai angkuh dan gimik politik, beliau berkata ia tidak harus dipandang ringan kerana membabitkan isu akidah yang serius, terutama di kalangan generasi muda Islam.

Jika tidak dibendung, kesannya amat besar dan berbahaya kerana boleh mencetuskan persepsi salah terutama di kalangan generasi muda Islam yang keliru antara Allah dalam landasan akidah agama dan tuhan menurut Bible.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku untuk menarik pengundi semata-mata. 
Kami tidak tahu hasrat sebenar tetapi percaya ia ada unsur politik apabila dibangkitkan oleh orang politik. Jangan heret sensitiviti agama dalam permainan politik,” katanya kepada BH, semalam.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr Hasan Mad, menganggap desakan itu sebagai satu lagi produk politik Guan Eng untuk menjuarai isu kalimah Allah di kalangan pengundi beragama Kristian, terutama di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, sensitiviti umat Islam tidak harus dieksploitasi dan dikorbankan semata-mata untuk memenuhi keghairahan agenda politik, tambahan pula ia boleh mengancam perpaduan masyarakat majmuk di negara ini.

“Jangan menjadikan politik mengatasi segala dimensi. Masyarakat kini matang menilai percaturan politik pemimpin memilih agenda yang ingin dijuarai,” katanya.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim, Dr Ann Wan Seng, berkata pihaknya kesal kerana ahli politik bukan Muslim tidak wajar masuk campur dalam perkara membabitkan sensitiviti umat Islam.

“Kami membantah sejak awal lagi penggunaan kalimah Allah dalam Bible kerana konsep ketuhanan dalam agama Kristian berbeza sama sekali dengan Islam,” katanya.

Sementara itu, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak Guan Eng menjawab dakwaan gesaannya itu berniat jahat untuk memperdayakan anak muda Melayu.

Presidennya, Azwanddin Hamzah juga mempersoalkan adakah golongan muda Melayu akan diberitahu bahawa Bible versi bahasa Melayu itu adalah ajaran Allah dan sama seperti al-Quran.

No comments:

Post a Comment