Pages

Thursday, 3 January 2013

Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh Yang Meriah



Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh yang dibina untuk memudahkan urusan seharian masyarakat di bandar raya ini dengan menempatkan 51 agensi kerajaan dan swasta, memulakan operasi hari ini.

Tinjauan Peraknews mendapati orang ramai mula mengunjungi pusat ini untuk melihat sendiri perubahan besar yang berlaku pada bangunan itu, yang dahulunya terkenal sebagai pusat membeli belah Super Kinta, di samping mengetahui perkhidmatan yang disediakan.

Tinjauan juga mendapati kebanyakan agensi kerajaan dan swasta masih belum beroperasi sepenuhnya kerana keperluan teknikal utama masih dalam peringkat pemasangan.

Kebanyakan agensi hanya menempatkan kakitangan untuk melayan pertanyaan para pelanggan dan dijangka beroperasi sepenuhnya hujung minggu ini atau Isnin depan.

Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU), Mohd. Jeffrey Abd. Hamid berkata, semua urusan yang berkaitan dengan YBU seperti permohonan skim mikro kredit dan perumahan boleh dibuat sepenuhnya di UTC  mulai minggu depan.

``Saya berpendapat kewujudan UTC ini bukan sahaja memudahkan orang ramai berurusan dengan YBU tetapi dengan banyak agensi lain, ini satu usaha yang sangat baik daripada kerajaan,’’ katanya ketika ditemui.

Eksekutif Tabung Haji, Haji Zamri Omar pula berkata, orang ramai boleh membuat segala urusan di Tabung Haji  UTC, sama seperti urusan yang dilakukan di pejabat Tabung Haji Daerah dan mini di seluruh negeri seperti membuka akuan dan pendaftaran haji.

``Semua urusan mereka boleh buat di sini seperti keluar dan masuk wang, kecuali urusan kursus haji sahaja,’’ tambahnya.

Eksekutif Pentadbiran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Perak, Zuriana Tajuddin pula berkata, pihaknya menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada usahawan Melayu, khususnya ahli-ahli seperti pengeluaran sijil tempasal (COO), e – perolehan dan surat-surat sokongan.

``Kita telahpun memulakan beroperasi di UTC ini untuk membantu ahli-ahli khususnya, mulai jam 10 pagi hingga 10 malam,’’ ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui menyambut baik usaha kerajaan menempatkan pelbagai agensi dan swasta di bawah satu bumbung kerana ia dapat memberi banyak kemudahan dan manfaat kepada mereka.

Bagaimanapun, mereka berkata, masalah utama yang bakal timbul di kawasan ini kelak ialah kekurangan tempat letak kereta kerana mereka terpaksa berebut dengan orang ramai yang membeli belah di pasar besar yang terletak di tingkat bawah UTC.

Sehubungan itu, mereka berharap agar pihak berkenaan, khususnya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dapat menyelesaikan segera masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan ini.

Mokhtar Nordin, 62, berkata, selain menempatkan banyak agensi swasta dan kerajaan yang berurusan terus dengan rakyat, suasana di UTC sangat nyaman dan selesa, berbeza dengan keadaan di tingkat bawah dan di pasar ayam bersebelahan.

``Tempat ini cantik dan bersih tetapi saya dengar ramai orang cakap mengenai kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta,’’ katanya.

Somasundram a/l Palani, 48, pula mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membina UTC Ipoh yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat sepertinya.

``Bagus tempat ini, tak perlu saya pergi jauh-jauh untuk membuat urusan seperti bayar bil air, api, telefon dan bil-bil lain, semuanya ada di sini,’’ tambahnya.

Yong Yeo Kong, 58, pula menyifatkan kewujudkan UTC dapat memberi banyak manfaat kepada orang ramai, seperti menjimatkan masa dan perbelanjaan.

``Di sini semua ada, boleh jimat masa sebab tak perlu pergi pejabat jauh-jauh, kalau guna motor lagi senang,’’ katanya sambil berharap masalah kekurangan tempat letak kereta dapat diselesaikan segera.

No comments:

Post a Comment